fbpx
PARA pelajar menghadiri sesi persekolahan di sebuah kawasan luar bandar di pinggir bandar Sukkur, pada 27 Mei 2025. - AFP

25 juta kanak-kanak Pakistan tidak bersekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ISLAMABAD – Di sebalik pengisytiharan Darurat Pendidikan Kebangsaan lebih dua tahun lalu, krisis pendidikan di Pakistan dilaporkan semakin meruncing dengan lebih 25 juta kanak-kanak negara itu tidak bersekolah, lapor agensi berita Gulf News.

Semakan dasar utama menyimpulkan bahawa kegagalan sistemik berpunca daripada tadbir urus yang lemah, kekangan pembiayaan serta kelemahan pelaksanaan terus menafikan hak kanak-kanak Pakistan  untuk mendapatkan akses pendidikan. 

Semakan komprehensif oleh Akademi Perkhidmatan Awam Pakistan (CSA) itu menyatakan,  krisis pendidikan negara tersebut bukan lagi disebabkan oleh kekurangan dasar, tetapi kerana  ketidakupayaan kerajaan untuk melaksanakan dasar sedia ada secara berkesan. 

Berdasarkan data dipetik stesen penyiaran tempatan, Geo News, populasi kanak-kanak usia persekolahan yang berada di luar sistem pendidikan adalah antara 25.1 juta hingga 26 juta orang.

Statistik itu seiring dengan penilaian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang meletakkan Pakistan sebagai negara kedua di dunia yang mempunyai bilangan kanak-kanak cicir sekolah paling ramai.

Laporan itu juga menyatakan bahawa pertumbuhan pesat penduduk selama beberapa dekad, kemiskinan, institusi kerajaan  lemah dan pelaburan awam yang sentiasa rendah dalam pendidikan telah meningkatkan bilangan kanak-kanak  tidak bersekolah. 

Punjab menjadi wilayah terbesar kanak-kanak tidak ke sekolah, mencatatkan angka 9.6 juta hingga 10.4 juta orang.

Daripada jumlah tersebut, 6.4 juta kanak-kanak tidak pernah mendaftar, manakala 3.16 juta lagi tercicir. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN