fbpx
Trak polis dipercayai membawa suspek kes tikam pelajar ke Mahkamah Majistret Telok Datok, Kuala Langat. Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!

Tikam pelajar: Suspek direman 4 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LANGAT – Pelajar perempuan berusia 15 tahun yang menikam rakan sekolahnya sebanyak 16 kali di sebuah sekolah menengah di Banting di sini, direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

Perintah reman terhadap remaja itu yang bermula sehingga Jumaat tersebut dikeluarkan Majistret Maslinda Selamat di Mahkamah Telok Datok selepas permohonan dikemukakan pihak polis.

Terdahulu, remaja terbabit tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 8.08 pagi dengan menaiki trak polis sebelum meninggalkan mahkamah pukul 9 pagi dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Perodua Aruz.

Mahkamah berkenaan turut menjadi tumpuan apabila pengamal media berkumpul seawal pukul 7.45 pagi bagi mengikuti prosiding tersebut.

Sementara itu, Peguam Yayasan Bantuan Guaman (YBGK) S. Vijeswari Suppiah ketika ditemui di luar mahkamah memaklumkan bahawa anak guamnya merupakan Orang Kurang Upaya (OKU)

“Anak guam saya adalah autistik. Itu sahaja saya boleh katakan,” jelasnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun cedera selepas dipercayai ditikam sebanyak 16 kali menggunakan pisau oleh rakan sekolahnya di kantin sekolah ketika waktu rehat.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk paru-paru dan kini menerima rawatan di hospital.

Polis kemudiannya berjaya menahan suspek yang juga berusia 15 tahun dan masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti motif kejadian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN