PERUSAHAAN Kecil dan Sederhana (PKS) merupakan tulang belakang ekonomi Malaysia apabila mewakili kira-kira 97 peratus daripada keseluruhan perniagaan di negara ini.
Dalam landskap ekonomi yang semakin dipacu teknologi digital, sistem pembayaran yang cekap bukan lagi sekadar kemudahan, malah menjadi faktor penting yang menentukan daya saing dan kelangsungan sesebuah perniagaan.
Seiring pertumbuhan pesat transaksi pembayaran elektronik yang mencecah 18.4 bilion pada 2025, inovasi dalam teknologi pembayaran dilihat semakin memainkan peranan penting dalam membantu PKS meningkatkan kecekapan operasi, mengukuhkan aliran tunai dan memperluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa.
Menurut Ketua Negara dan Ketua Pegawai Eksekutif Razorpay Curlec, Kevin Lee, cabaran terbesar yang masih dihadapi oleh PKS ketika beralih kepada pembayaran digital ialah proses penyediaan sistem pembayaran dalam talian yang kompleks dan memakan masa.
“Ramai usahawan masih perlu berdepan integrasi teknikal, keperluan keselamatan, pematuhan kepada peraturan serta proses penyelarasan transaksi yang dilakukan secara manual.
“Melalui infrastruktur pembayaran digital yang lengkap, kami membantu memudahkan transaksi, mengautomasikan kutipan bayaran dan membolehkan perniagaan berkembang melangkaui pasaran tempatan,” katanya menerusi satu sesi temu bual khas bersama K-Tekno secara dalam talian baru-baru ini.
Tambahnya, pengurusan aliran tunai juga terus menjadi cabaran utama kerana kebanyakan PKS beroperasi dengan margin keuntungan yang kecil di samping berdepan peningkatan kos operasi.
Justeru, penyelesaian seperti debit terus dan pembayaran berulang mampu mengurangkan kelewatan pembayaran, meminimumkan tunggakan invois serta menjadikan aliran tunai lebih konsisten.
Kongsinya lagi, apabila kutipan bayaran dapat dilakukan secara automatik, pemilik perniagaan boleh memberi lebih tumpuan kepada pertumbuhan syarikat berbanding mengejar pembayaran pelanggan.

Perubahan tingkah laku pengguna turut mendorong PKS menyesuaikan strategi pembayaran mereka.
Pengguna kini mengutamakan transaksi yang pantas, mudah dan fleksibel, khususnya melalui pembayaran kod QR, e-dompet serta skim pembayaran ansuran.
Kata Kevin lagi, pengguna hari ini bukan sekadar menghargai fleksibiliti pembayaran, malah mengharapkannya sebagai satu keperluan.
“Kerjasama kami dengan Visa melalui Visa Instalment Solutions membolehkan peniaga menawarkan pelan pembayaran ansuran bagi pembelian bernilai tinggi.
Ini bukan sahaja meningkatkan pengalaman pelanggan, malah membantu perniagaan meningkatkan kadar penukaran jualan dan membina hubungan jangka panjang dengan pelanggan,” ujarnya.
Bagi mempercepatkan penyertaan PKS dalam ekonomi digital, Razorpay Curlec turut membangunkan pelbagai inovasi yang memudahkan proses penerimaan pembayaran.
Antaranya termasuk proses pendaftaran pedagang secara automatik, penyelesaian tanpa kod (no-code), platform pembayaran bersepadu yang menyokong kad kredit, pertukaran proses kewangan (FPX), e-dompet dan pelan ansuran dalam satu sistem, selain proses pembayaran yang lebih pantas serta kadar caj yang telus.
“Ramai PKS tidak mempunyai kepakaran teknikal atau sumber untuk membangunkan sistem pembayaran sendiri.
“Sebab itu kami membangunkan teknologi ini,” tambahnya.
Menurut Kevin lagi, penyelesaian pembayaran digital kini dimanfaatkan oleh pelbagai sektor termasuk e-dagang, peruncitan, perkhidmatan kewangan dan organisasi bukan berasaskan keuntungan.
Ciri seperti Payment Links membolehkan peniaga menghantar pautan pembayaran melalui WhatsApp, Telegram atau e-mel, manakala Payment Pages membolehkan mereka menerima bayaran secara dalam talian tanpa memerlukan laman sesawang yang lengkap.
Fleksibiliti ini memudahkan lebih ramai usahawan kecil memulakan transformasi digital dengan kos yang lebih rendah.
Mengulas potensi pertumbuhan di peringkat antarabangsa, Kevin berkata, pembangunan infrastruktur pembayaran rentas sempadan menjadi semakin penting apabila lebih ramai PKS menembusi pasaran global melalui e-dagang.














