IPOH – Polis menahan tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes samun terhadap seorang lelaki warga Bangladesh dengan menyamar sebagai anggota polis dalam kejadian di Pantai Remis, Khamis lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, tangkapan terhadap kesemua suspek berusia lingkungan 40-an itu dijalankan susulan laporan polis dibuat mangsa berusia 45 tahun.
Katanya, dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, mangsa telah dipaksa masuk oleh suspek ke dalam sebuah kereta jenis Nissan X-Trail dalam keadaan tangan bergari.
“Suspek kemudian merampas beg mangsa dan mengambil wang tunai berjumlah RM8,000.
“Mangsa turut diugut kononnya akan dibawa ke Balai Polis Pantai Remis untuk pemeriksaan lanjut namun lelaki itu mula mengesyaki dirinya disamun apabila suspek tidak menuju ke balai polis berkenaan, sebaliknya menghala ke jalan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Menurut beliau,mangsa kemudian bertindak memulas stereng kenderaan yang dinaiki sehingga terbabas ke bahu jalan di Jalan Batu 12, Segari, Lumut.
Katanya, kedua-dua suspek bagaimanapun berjaya melarikan diri dengan membawa wang tunai milik mangsa selepas menahan sebuah motosikal yang melalui lokasi kejadian.
“Susulan maklumat diperoleh, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung bersama anggota Balai Polis Pantai Remis dan Balai Polis Segari berjaya menahan tiga lelaki di Jalan Besar, Gunung Tunggal, Changkat Keruing pada kira-kira pukul 8.30 malam hari yang sama.
“Polis turut merampas sebuah kereta Nissan X-Trail, beberapa telefon bimbit, kad ATM, wang tunai, gari, kad kuasa polis bantuan dan pelbagai barangan lain,” katanya.
Mohd. Alwi berkata, semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes samun, curi, curi kenderaan, mendatangkan kecederaan, ugutan dan kesalahan berkaitan dadah.
Beliau berkata, hasil siasatan awal turut mendapati dua daripada suspek mengaku terbabit dalam kejadian samun berkenaan.
“Berdasarkan siasatan, salah seorang suspek juga didapati pernah bekerja sebagai polis bantuan, dipercayai menjadi punca dia memiliki gari dan kad kuasa polis.
“Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 3 hingga 9 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan dan menyamar sebagai penjawat awam,” katanya. – KOSMO! ONLINE















