KUALA LUMPUR – Kerajaan menyifatkan tindakan Norway membatalkan lesen eksport sistem peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) kepada Malaysia sebagai pencabulan terhadap prinsip kepercayaan dan komitmen antarabangsa.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan unilateral itu bukan sahaja menjejaskan kontrak perolehan pertahanan, malah melibatkan kepentingan strategik negara, penggunaan wang rakyat serta kesiagaan pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut beliau, perolehan NSM bermula sejak 2011 sebelum kontrak bernilai €128.7 juta dimeterai pada 2018 bagi melengkapkan kapal tempur pesisir (LCS), diikuti kontrak kedua bernilai €9.19 juta pada 2023 untuk dua set pelancar bagi KD Jebat dan KD Lekiu, menjadikan keseluruhan nilai kira-kira RM642.6 juta.
Katanya, Malaysia telah memenuhi semua obligasi kontrak termasuk membuat pembayaran sebanyak €129.8 juta atau lebih 95 peratus daripada nilai keseluruhan sebelum penghantaran dijadualkan pada Mac lalu.
“Namun pada 4 Februari, Kongsberg Defence & Aerospace (KDA) memaklumkan kerajaan Norway menggantung lesen eksport tanpa alasan sebelum membatalkannya secara kekal pada April dengan alasan sistem itu hanya dieksport kepada negara anggota NATO dan sekutunya.
“Tindakan ini mencalar prinsip perjanjian, komitmen dan kepercayaan antarabangsa. Kerajaan Norway tidak menghormati semangat persahabatan serta kerjasama yang telah lama terjalin dengan Malaysia. Kerajaan amat kesal dan kecewa dengan keputusan tersebut,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, ketiadaan NSM mengehadkan keupayaan peperangan anti-kapal LCS yang ketika ini hanya bergantung kepada meriam 57 milimeter dengan jarak tembakan sekitar 10 kilometer.
Bagaimanapun, katanya, situasi itu tidak menjejaskan jadual penyerahan kapal LCS kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), manakala operasi mempertahankan perairan, ruang udara dan sempadan negara terus berjalan seperti biasa.
Dalam perkembangan sama, Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pertahanan telah mengemukakan notis tuntutan sebanyak €226.1 juta (kira-kira RM1.05 bilion) terhadap KDA meliputi bayaran yang telah dibuat serta kerugian langsung dan tidak langsung susulan pembatalan lesen eksport berkenaan.
Menurutnya, berdasarkan nasihat Jabatan Peguam Negara, kerajaan akan memberi keutamaan kepada rundingan yang dijadual berlangsung pada pertengahan Ogos sebelum mempertimbangkan tindakan lanjut.
Beliau berkata, insiden itu turut menjadi pengajaran bahawa kebergantungan kepada rantaian bekalan luar negara membawa risiko strategik kepada pertahanan negara.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan memperkukuh pelaksanaan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) bagi meningkatkan keupayaan industri pertahanan tempatan termasuk pembangunan teknologi roket dan peluru berpandu demi memastikan Malaysia lebih berdikari pada masa hadapan.-KOSMO! ONLINE














