fbpx
PENYERANG Brazil, Matheus Cunha berharap pasukannya waspada ancaman Norway. -AFP

Piala Dunia 2026: Brazil masih dibelenggu sejarah lama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NEW YORK – Brazil berdepan cabaran luar biasa apabila dijadual menentang Norway pada aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 awal pagi esok dengan rekod lampau jelas tidak memihak kepada juara dunia lima kali itu.

Skuad kendalian Carlo Ancelotti bukan sahaja perlu mengekang ancaman penyerang berbisa, Erling Haaland, malah turut berdepan satu-satunya pasukan yang masih gagal mereka tewaskan sepanjang sejarah pertemuan kedua-dua negara.

Sejak kali pertama bertemu pada 1988, Brazil hanya mencatatkan dua keputusan seri dan tewas dua kali kepada Norway, termasuk kekalahan 1-2 pada saingan Piala Dunia 1998 yang masih kekal sebagai antara episod paling pahit buat Selecao.

Penyerang Brazil, Matheus Cunha mengakui Haaland merupakan antara pemain terbaik dunia, namun menegaskan pasukannya tidak boleh hanya memberi tumpuan kepada bintang Manchester City itu semata-mata.

“Haaland adalah pemain hebat dan dia sudah membuktikannya berkali-kali, sama ada ketika beraksi di Jerman mahupun sekarang di England. Kami saling mengenali, tetapi kami perlu fokus kepada keseluruhan pasukan Norway.

“Mereka mempunyai ramai pemain berkualiti yang turut beraksi di Liga Perdana Inggeris. Sebab itu saya fikir Norway adalah antara lawan paling sukar yang perlu kami hadap pada peringkat ini,” katanya.

Norway hadir dengan keyakinan tinggi selepas menyingkirkan Ivory Coast 2-1 pada pusingan 32 terbaik sekali gus menghadiahkan kemenangan sulung negara Scandinavia itu dalam aksi kalah mati Piala Dunia, selain meneruskan rekod 17 kemenangan dalam 20 perlawanan terakhir.

Pada masa sama, Brazil menerima khabar gembira apabila Raphinha kembali menjalani latihan selepas pulih daripada kecederaan hamstring, manakala Neymar turut disahkan cergas untuk memperkuatkan jentera serangan dalam usaha mara ke suku akhir. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN