fbpx
Afifah Aisyah dan Dr. Muhammad Dawotd Khan.

Huffaz jadi rebutan bidang profesional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Kewujudan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) bukan sahaja memberikan satu nafas baharu kepada sistem pendidikan tahfiz di negara ini, malah memberi lonjakan kepada pelajar tahfiz untuk menceburi bidang profesional.

Ini terbukti apabila ramai pelajar tahfiz berkenaan kini menjawat jawatan penting dalam bidang profesio­nal termasuk doktor, jurutera, juruaudit dan sebagainya.

Doktor Ortopedik Hospital Sungai Buloh, Dr. Muhammad Dawotd Khan Mad Mikhan yang merupakan bekas pelajar MTNP berkata, dia bersyukur kerana cita-citanya untuk menjadi seorang doktor tercapai walaupun belajar di Maahad Tahfiz.

“Saya antara generasi awal yang belajar di MTNP untuk hafalan al-Quran dan agama dan mengikuti pengajian akademik di sekolah menengah.

“Alhamdulillah saya dapat dua perkara iaitu menghafal a-Quran dan akademik sepanjang berada di MTNP ini. Jadi saya lihat hasrat untuk melahirkan doktor, jurutera dan pelbagai jawatan profesional yang hafal al-Quran berjaya,” katanya semalam.

Anak sulung daripada tiga beradik yang berasal dari Muadzam Shah, Rompin ini berkata, beliau mula berkhidmat sebagai doktor di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan selepas menghabiskan pe­ngajian ijazah dalam bidang perubatan di Universiti Al-Azhar Mesir pada 2016.

Katanya, pada masa ini, beliau bertugas di Hospital Sungai Buloh dan sedang giat menyiapkan kursus Sarjana Ortopedik ke arah menjadi doktor pakar.

Seorang lagi bekas pelajar, Afifah Aisyah Idris, 25, yang merupakan seorang juruaudit di Ersnt & Young berkata, dia bersyukur kerana dapat mengejar cita-citanya untuk bekerja dengan firma audit antarabangsa.

Katanya, kejayaannya adalah hasil doa ibu bapa dan juga guru serta bantuan daripada Kerajaan Negeri Pahang sejak dia berada di MTNP sehinggalah menyambung pengajian yang lebih tinggi.

Afifah Aisyah yang berasal dari Temerloh berkata, beliau juga bersyu­kur kerana turut mendapat biasiswa daripada Yayasan Pahang untuk me­lanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya bersyukur kerana dengan didikan di MTNP dan juga bantuan kerajaan negeri kini saya dapat bersaing dengan orang lain dan mencapai cita-cita menjadi juruaudit.

“Terima kasih kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang begitu prihatin terhadap maahad tahfiz di negeri ini,” katanya.

Sementara itu seorang lagi bekas pelajar MTNP, Dr. Balqis Zulkifle, 34, berkata, sememangnya MTNP menjadi platform dalam melahirkan golongan profesional termasuk doktor dan sebagainya.

Dr. Balqis (dua dari kanan) bersama pembantunya sebelum memulakan pembedahan gigi di Klinik Pergigian Meor Ahmad Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Beliau yang merupakan doktor gigi berkata, kira-kira separuh daripada rakan-rakannya kini bertugas sebagai doktor, manakala selebihnya dalam pelbagai bidang profesional lain.

Anak jati Kuantan yang menamatkan pelajaran di MTNP pada 2009 berkata, turut mendapat bantuan daripada kerajaan apabila mendapat penajaan menyambung belajar di universiti luar negara dan universiti tempatan.

“Sememangnya kerajaan Pahang banyak membantu dalam memastikan kejayaan kita, bermula daripada di MTNP pelbagai bantuan dan sokongan diberikan oleh kerajaan negeri yang kini di bawah pimpinan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Selepas menamatkan pelajaran, MTNP terus membantu pelajar bagi menyambung pengajian dan Yayasan Pahang juga membantu dari segi penajaan. Terima Kasih Kerajaan Negeri Pahang,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN