HOUSTON – Maghribi mengekalkan reputasinya sebagai salah satu kuasa besar bola sepak dunia apabila layak ke suku akhir Piala Dunia 2026 selepas tewaskan tuan rumah, Kanada 3-0 di Stadium Houston, hari ini.
Pemain tengah, Azzedine Ounahi berjaya mencuri perhatian apabila menghasilkan dua gol sekali gus bantu The Atlas Lions muncul pasukan pertama layak ke suku akhir.
Pada aksi suku akhir, Jumaat ini, Maghribi berpeluang untuk melunaskan dendam apabila bakal menentang naib juara, Perancis yang tewaskan mereka 2-0 pada separuh akhir edisi empat tahun lalu.
Terdahulu, Kanada seakan berjaya memberikan tentangan hebat apabila mampu memaksa 45 minit pertama berakhir tanpa jaringan.
Bagaimanapun, Maghribi yang hadir sebagai pasukan di tempat keempat pada edisi lalu hanya memerlukan lima minit di babak kedua untuk memperoleh gol pertama menerusi sentuhan penyudah sempurna Ounahi.
Minit ke-82, Ounahi berjaya meledak gol kedua sebelum Soufiane Rahimi mengesahkan kemenangan Maghribi apabila menghasilkan gol ketiga pada minit kelapan masa kecederaan. AGENSI














