KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pembangunan Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) merupakan projek kerajaan Pusat dengan kerjasama kerajaan negeri dan tidak wajar dijadikan isu politik.
Beliau berkata, dakwaan dibangkitkan berhubung JS-SEZ adalah tidak tepat kerana perkara itu telah dijelaskan oleh Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Pelan Induk dan Pelan Tindakan Pelaburan JS-SEZ dijangka dilancarkan pada suku keempat tahun ini selepas agensi kerajaan Persekutuan melengkapkan pelaksanaan komitmen pelaburan yang dijanjikan bagi zon ekonomi khas tersebut.
“Isu-isu seperti yang dibangkitkan umpamanya JS-SEZ yang dibawa oleh Menteri Besar Johor itu tidak betul. Itu sudah dijelaskan oleh Menteri Ekonomi (Akmal Nasrullah) semalam.
“Ini projek kerajaan Persekutuan, tentunya dengan kerjasama kerajaan negeri. Soal mengumumkan dan menandatangani itu soal Perdana Menteri Malaysia dengan Perdana Menteri Singapura.
“Sudahlah tidak berterima kasih, dia guna masa kempen untuk mencela. Tak cerdik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Sodiqin, Taman Kobena, Cheras di sini hari ini.
Terdahulu, Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi dalam hantaran di Facebook menggesa kerajaan Pusat menyegerakan pengumuman Pelan Induk JS-SEZ yang dimaklumkan telah siap bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negeri terus diperkukuh dan memberi kepastian kepada pelabur. – KOSMO! ONLINE














