PETALING JAYA – Seorang wanita bertuah apabila dihubungi sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas tidak berkesempatan bertemunya di sebuah program di Putrajaya, Sabtu lalu.
Anwar berkata, beliau dimaklumkan, wanita itu menangis susulan gagal bertemu dengannya ketika menghadiri program SParK Forum Niaga Bazar 2026 anjuran Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).
“Alhamdulillah, sempat juga saya hubungi saudari Artini Johari, usahawan industri kecil sederhana dari Selangor yang hadir ke SParK Forum Niaga Bazar 2026 anjuran PUNB, Sabtu lalu.
“Rupa-rupanya, beliau menangis sebab tak sempat berjumpa saya. Insya-Allah, ada rezeki kita bertemu nanti,” katanya menerusi media sosial.
Pada masa sama, beliau turut berkongsi rakaman ketika perbualan telefon itu berlangsung di media sosial, hari ini.
Menerusi perbualan telefon itu, Artini meluahkan rasa syukur kerana berpeluang berbual dengan Perdana Menteri selepas sebelum ini gagal bertemu secara bersemuka.
Menurutnya, dia turut tersentuh apabila Anwar memegang produk kerepek yang diusahakannya ketika menghadiri program tersebut seolah-olah beliau sedang mendoakan kejayaannya.
Sementara itu, Anwar berkata, beliau mendoakan agar Artini terus dikurniakan kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan serta berjaya mengembangkan perniagaannya. – KOSMO! ONLINE















