KUALA LUMPUR – Suspek kes kemalangan maut membabitkan seorang penunggang motosikal Yamaha 135LC di Jalan Tun Razak di sini, bakal dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Perkembangan terbaharu itu susulan arahan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) supaya orang kena tuduh (OKT) dalam kes berkenaan dituduh di bawah seksyen tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, suspek turut dibawa ke Dang Wangi pagi ini bagi tujuan permohonan reman sementara menunggu proses pertuduhan selanjutnya.
Terdahulu, seorang lelaki berusia 29 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta sebelum pemandunya meninggalkan lokasi kejadian di Jalan Tun Razak, semalam.
Kemalangan kira-kira pukul 6 pagi itu berlaku dari arah Menara TH Selborn menghala ke Bulatan Pahang berhampiran Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Mohd Zamzuri dalam kenyataan malam tadi berkata, mangsa merupakan lelaki tempatan yang menunggang motosikal Yamaha 135LC di lorong kiri.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa dipercayai dilanggar dari belakang oleh sebuah kenderaan.
“Akibat pelanggaran tersebut, mangsa terjatuh di atas jalan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur.
“Pemandu kenderaan terbabit kemudiannya meninggalkan lokasi kejadian tanpa berhenti untuk memberikan bantuan,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Zamzuri berkata, hasil siasatan dijalankan, pihaknya berjaya mengesan kenderaan yang dipercayai terlibat dalam kemalangan itu.
Katanya, kenderaan terbabit dikenal pasti sebagai sebuah BMW 320i yang dimiliki secara sambung bayar dan digunakan oleh pemandu ketika kejadian.
“Pemandu iaitu seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun telah hadir secara sukarela ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur kira-kira pukul 6.30 petang bagi membantu siasatan.
“Suspek kemudiannya ditahan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sebelum dibawa menjalani ujian pernafasan alkohol serta saringan awal air kencing,” ujarnya.
Beliau berkata, hasil saringan awal mendapati kedua-dua ujian berkenaan adalah negatif.- KOSMO! ONLINE














