fbpx
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, hari ini. - Foto oleh AMRAN ALI/KOSMO!

Pemuda didakwa pukul lelaki sampai parah dengan kayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang pemuda dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki menggunakan sebatang kayu dalam kejadian di Bemban, bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Alif Syazwan Mohd. Asri, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Ahmad Ramzi Samrat, 29, menggunakan sebatang kayu yang merupakan senjata yang boleh menyebabkan kematian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 12.10 tengah malam di tepi jalan berhampiran hentian bas di Jalan Gapam, Bemban, dalam daerah Jasin pada 23 Jun lalu.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan tarikh 17 Ogos depan sebagai sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan laporan perubatan.

Pada 23 Jun lalu, Kosmo! melaporkan dua lelaki parah termasuk mengalami pendarahan dalam otak selepas dipercayai terbabit dalam pergaduhan membabitkan dua kumpulan di tepi jalan berhampiran perhentian bas, Jalan Gapam, Bemban, Jasin.

Mangsa berusia 21 dan 29 tahun masing-masing mengalami bengkak di kepala, retak tengkorak serta patah tengkuk dan pendarahan dalam otak, selain kecederaan parah pada anggota badan.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, siasatan awal mendapati kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada rasa cemburu melibatkan seorang wanita dikenali sebagai ‘Rina’.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN