fbpx
Tengku Zafrul tengah ketika hadir di Mahkamah Tinggi hari ini.

Tiada keuntungan peribadi atau motif jahat terhadap Muhyiddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – – Bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memberitahu, beliau tidak pernah memperoleh sebarang keuntungan peribadi dalam bentuk kewangan yang berkaitan dengan Program Jana Wibawa.

Tengku Zafrul, 53, berkata sepanjang tempoh berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dari Mac 2020 hingga Ogos 2021 di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin beliau mempunyai hubungan baik dan tidak mempunyai apa-apa motif jahat terhadap bekas perdana Perdana Menteri Malaysia ke-8 itu.

“Sepanjang saya berkhidmat sebagai Menteri Kewangan di bawah pentadbiran Tan Sri Mahiaddin Yassin, saya tidak pernah memperoleh sebarang keuntungan peribadi dalam bentuk kewangan yang berkaitan dengan Program Janawibawa” ujarnya.

Mengulas lanjut dalam pernyataan saksinya itu, Zafrul turut memaklum beliau tidak pernah mempunyai pengetahuan bagaimana syarikat-syarikat tahu berkenaan kewujudan projek Jana Wibawa yang dimohon mereka kepada Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, pada masa sama Tan Sri Muhyiddin juga tidak pernah memaklumkan kepadanya bahawa beliau dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ada menerima sumbangan daripada syarikat-syarikat yang disenaraikan.

“Saya sahkan saya tidak pernah menerima apa-apa sumbangan daripada syarikat-syarikat yang disenaraikan di dalam surat ini. Saya tiada pengetahuan syarikat-syarikat ini pernah memberi sumbangan kepada mana-mana parti politik,” katanya lagi.

Terdahulu, Tengku Zafrul ketika membaca pernyataan saksinya memaklumkan Program Jana Wibawa merupakan satu program yang diwujudkan bagi merangsang pembangunan kontraktor Bumiputera serta merancakkan sektor pembinaan negara.

Ujar beliau, program itu dilaksanakan selaras dengan pelbagai pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan oleh kerajaan bagi membantu negara menghadapi kesan negatif akibat penularan pandemik Covid-19.

“Objektif utama Program Jana Wibawa adalah untuk membantu kontraktor Bumiputera serta pembekal bahan binaan yang terkesan akibat pandemik tersebut, di samping memastikan kelangsungan aktiviti ekonomi dalam sektor pembinaan negara,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin sedang berlangsung.

Mengikut pertuduhan, Muhyiddin, 78, yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga buah syarikat serta seorang individu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN