KUALA TERENGGANU – Orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati untuk menyertai acara cabutan bertuah yang dikhuatiri haram sekiranya mengandungi unsur perjudian, penipuan atau eksploitasi pengguna.
Mufti Terengganu, Prof. Dr. Syed Hadzrullathfi Syed Omar berkata, kaedah pelaksanaan cabutan bertuah mesti mematuhi prinsip syariah.
“Peningkatan promosi berbentuk cabutan bertuah sejak kebelakangan ini memerlukan masyarakat memahami hukum syarak sebelum menyertainya.
“Sesuatu cabutan bertuah hendaklah bebas daripada unsur perjudian (maysir), ketidakpastian melampau (gharar), penipuan (ghish), eksploitasi pengguna serta pengambilan harta secara batil,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas trend semasa penganjuran cabutan bertuah termasuk dilaksanakan menerusi platform digital.
Syed Hadzrullathfi berkata, cabutan bertuah mengandungi unsur perjudian diharamkan sekiranya penyertaan memerlukan peserta membayar yuran tambahan, membeli kupon khas atau menanggung kos tertentu semata-mata mahu melayakkan diri memenangi hadiah.
Beliau berkata, cabutan bertuah juga haram jika harga sesuatu produk dinaikkan secara tidak munasabah bagi membiayai hadiah ditawarkan kepada peserta.
“Bagaimanapun, cabutan bertuah diharuskan sekiranya penyertaan tidak melibatkan sebarang bayaran tambahan dan harga produk atau perkhidmatan yang dijual kekal pada harga pasaran sebenar,” katanya. – KOSMO! ONLINE














