PETALING JAYA – Seorang wanita meluahkan rasa kecewa selepas menerima bungkusan manggis yang dipesan menerusi sebuah platform e-dagang dalam keadaan hanya tinggal kulit, dipercayai telah dikupas sebelum sampai ke tangannya.
Menerusi perkongsian pengguna @ahdeq di Threads, wanita itu memuat naik video memaparkan sebuah kotak berisi longgokan kulit manggis tanpa isi yang diterimanya selepas dua hari membuat tempahan.
“Beli manggis secara atas talian, baru sampai dah tinggal kulit! Ini abang penghantaran yang makan ke penjual yang buat?” katanya dalam hantaran itu.
Tambahnya, dia turut mengesyaki bungkusan itu pernah dibuka kerana terdapat kesan label penghantaran yang dipercayai dicabut sebelum ditampal semula.
“Nampak kesan pelekat label penghantaran dicabut dan ditampal semula,” ujarnya.
Perkongsian itu meraih lebih 264,000 tontonan dalam tempoh beberapa jam, selain dibanjiri komen pengguna lain yang mendakwa pernah mengalami kejadian hampir sama.
“Dahsyat sungguh. Tak kira halal atau haram, ambil dan makan hak orang lain,” komen seorang pengguna, Jerryleehalim.
“Saya pernah hantar kerepek kepada pelanggan di Kedah. Sampai rumah dia buka, kerepek tinggal separuh. Memang ada kesan bungkusan dipotong kemudian ditampal semula,” kata Aszahmad.
“Saya pernah kena. Baju hilang sehelai, nampak kesan torehan dan pita pelekat,” tulis seorang lagi pengguna. -KOSMO! ONLINE














