SHAH ALAM – Penolong Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan rasuah RM15,000 bagi menutup kertas siasatan berkaitan penipuan perdagangan.
Tertuduh, Fareez Akmal Md. Yusuf, 38, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.
Mengikut pertuduhan, Fareez yang bertugas di Cawangan Siasatan (Fraud Perdagangan), Bahagian Penguatkuasaan JKDM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur didakwa secara rasuah memperoleh wang tunai RM15,000 daripada seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun sebagai dorongan untuk menutup kertas siasatan yang dikendalikannya.
Bapa kepada dua anak itu melakukan kesalahan tersebut di sebuah lot parkir di Petaling pada 26 Jun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairuddin mencadangkan jaminan RM10,000 bersama seorang penjamin selain syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di Pejabat SPRM sebulan sekali serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Peguam Azrul Zulkifli Stork pula memohon jaminan dikurangkan kepada RM5,000 dengan alasan anak guamnya yang berpendapatan RM4,500 sebulan perlu menyara isteri, dua anak serta kedua-dua ibu bapanya.
Mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM5,000 bersama seorang penjamin selain membenarkan syarat tambahan pendakwaan.
Sebutan semula kes pada 3 Ogos depan. – KOSMO! ONLINE














