PERKEMBANGAN teknologi robotik dan kecerdasan buatan (AI) kini bukan lagi sekadar tertumpu kepada sektor pembuatan, malah semakin memainkan peranan penting dalam strategi pemasaran, perkhidmatan pelanggan dan pembangunan perniagaan.
Kehadiran robot berasaskan AI membolehkan organisasi menawarkan pengalaman yang lebih interaktif, meningkatkan kecekapan operasi serta memenuhi permintaan pengguna yang semakin mengutamakan kelajuan, ketepatan dan penyelesaian yang pintar.
Sehubungan itu, Always Robots Sdn. Bhd., menjadi antara petunjuk bahawa negara sedang memasuki fasa baharu dalam penggunaan robot humanoid dan robot berkaki empat sebagai sebahagian daripada ekosistem ekonomi digital.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Always Robots, Patrick Goh, gabungan kepakaran pemasaran, pembangunan teknologi robotik dan AI berkonsepkan Embodied AI membolehkan syarikat menawarkan penyelesaian automasi yang lebih menyeluruh kepada pelbagai sektor industri.
Always Robots ditubuhkan hasil kerjasama strategik antara Always Marketing Shanghai, SparkRobot dan AGIBOT dengan matlamat memperluaskan penggunaan teknologi robotik pintar di Malaysia.
“Melalui slogan intelligence for everyday life, syarikat ini berhasrat menjadikan teknologi robot bukan sekadar produk berteknologi tinggi, malah sebahagian daripada kehidupan dan operasi harian perniagaan.
“Konsep Embodied AI memberi kelebihan kepada robot kerana ia bukan sahaja mampu memproses data seperti sistem AI konvensional tetapi turut berinteraksi dengan persekitaran fizikal,” katanya ketika ditemu bual K-Tekno pada majlis pelancaran Always Robots Sdn. Bhd. di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya, robot humanoid siri X dan A serta robot berkaki empat siri D yang diperkenalkan dilengkapi teknologi AI yang membolehkannya belajar, memahami arahan suara, berkomunikasi dengan manusia dan melaksanakan pelbagai tugasan kompleks.
Keupayaan ini membuka peluang kepada syarikat untuk menggunakan robot dalam pelbagai aplikasi termasuk perkhidmatan pelanggan, demonstrasi produk, pengurusan acara dan operasi harian.
Kongsinya lagi, dalam aspek pemasaran, robot AI membawa dimensi baharu yang lebih menarik berbanding kaedah promosi tradisional.

Robot boleh berfungsi sebagai duta jenama di pusat beli-belah, pameran perdagangan atau pelancaran produk dengan berinteraksi secara langsung bersama pengunjung.
“Mereka mampu menjawab soalan pelanggan, memberi penerangan mengenai produk, melakukan demonstrasi serta mengumpulkan maklum balas pengguna secara masa nyata.
“Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan pengalaman pelanggan, malah membantu syarikat membina imej sebagai organisasi yang inovatif dan berpandangan jauh,” ujarnya.
Katanya lagi, selain menarik perhatian pelanggan, penggunaan robot juga mampu memenuhi permintaan pasaran yang semakin mencabar. Pengguna masa kini mengharapkan perkhidmatan pantas, maklumat tepat dan pengalaman yang diperibadikan. Dengan sokongan AI, robot boleh mengingati keutamaan pelanggan, memberikan cadangan produk yang bersesuaian serta berkomunikasi dalam pelbagai bahasa.
Gabungan teknologi ini membantu meningkatkan tahap kepuasan pelanggan dan memperkukuhkan hubungan antara jenama dengan pengguna.
“Potensi robot AI turut melangkaui sektor runcit. Always Robots menyasarkan penggunaannya dalam bidang pendidikan, perkhidmatan komersial, hiburan dan pengurusan acara.
“Di institusi pendidikan misalnya, robot boleh membantu dalam proses pembelajaran interaktif, manakala dalam sektor acara, ia boleh bertindak sebagai penyambut tetamu atau pemberi maklumat,” tambahnya.
Ujarnya lagi, fleksibiliti ini menunjukkan bahawa robot AI bukan lagi teknologi khusus untuk kilang, sebaliknya penyelesaian serba guna yang mampu memenuhi pelbagai keperluan industri.
Bagi mempercepatkan penerimaan pasaran, pihaknya juga memperkenalkan model perniagaan yang lebih fleksibel melalui jualan terus kepada pengguna, rangkaian pengedar B2B, skim pajakan, sewaan untuk dimiliki serta perkhidmatan penyelenggaraan selepas jualan.
Pendekatan ini mengurangkan halangan kos pelaburan awal yang sering menjadi cabaran kepada perusahaan kecil dan sederhana.
Pada masa sama, pembukaan bilik pameran utama di Kuala Lumpur dijangka memberi peluang kepada orang ramai dan syarikat melihat sendiri keupayaan robot sebelum membuat keputusan pelaburan.
“Perkembangan robotik dan AI semakin membuktikan bahawa teknologi bukan sekadar alat automasi tetapi juga pemacu utama transformasi pemasaran moden.
“Robot yang mampu berinteraksi secara semula jadi dengan manusia membolehkan syarikat memenuhi permintaan pelanggan dengan lebih cekap, meningkatkan produktiviti serta memperkukuhkan daya saing,” jelasnya.
Hurainya lagi, jika penggunaan teknologi ini terus diperluaskan, Malaysia berpotensi muncul sebagai antara peneraju ekosistem robotik pintar dan AI di Asia Tenggara, sekali gus menyokong pembangunan ekonomi digital yang lebih mampan dan berdaya saing.














