RANCANGAN Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) menggariskan keperluan untuk melahirkan lebih ramai bakat Bumiputera berdaya saing yang mampu memimpin, berinovasi dan mencipta nilai kepada negara.
Selaras dengan aspirasi tersebut, Yayasan Peneraju (YP), agensi di bawah Kementerian Ekonomi beralih daripada pendekatan pembangunan bakat yang tertumpu kepada penciptaan kekayaan kepada penciptaan nilai, dengan sasaran membangunkan 10,000 pencipta nilai Bumiputera menjelang 2030.
Selain memperkukuh pembangunan bakat dalam bidang profesional dan teknologi, YP turut meneroka bidang baharu seperti reka bentuk cip bersepadu (IC design) bagi menyokong aspirasi negara dalam industri semikonduktor.
Kosmo! baru-baru ini berpeluang menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif YP, Ibrahim Sani menerusi e-mel berhubung peralihan pendekatan agensi tersebut serta sasarannya menjelang tahun 2030.
KOSMO!: Bagaimanakah peranan YP telah berkembang sejak penubuhannya pada 2012?
Ibrahim: Sejak 2012, YP fokus memperluaskan peluang kepada bakat Bumiputera untuk mengikuti pendidikan berkualiti, pensijilan profesional dan pembangunan kemahiran.
YP telah menyokong lebih 100,000 bakat Bumiputera yang kini menyumbang dalam pelbagai sektor ekonomi.
Seiring dengan perubahan keperluan negara, pendekatan kami juga perlu berkembang. Berpandukan Roadmap to 2030, YP sedang beralih daripada pendekatan penciptaan kekayaan kepada penciptaan nilai, dengan aspirasi mempercepatkan daya saing global bakat Bumiputera.
Sebelum ini, tumpuan kami adalah kepada memperluaskan akses dan meningkatkan penyertaan bagi memperbaiki hasil sosioekonomi. Walaupun ia kekal penting, hari ini kami turut fokus kepada persoalan bagaimana untuk membangunkan bakat Bumiputera yang mampu memimpin, berinovasi dan mencipta peluang untuk orang lain.
YP memberi tumpuan kepada bidang teknologi dan perakaunan profesional. Mengapa dua bidang ini penting?
Dalam bidang teknologi, kita menyaksikan permintaan tinggi terhadap kemahiran seperti kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, analitik data dan pengkomputeran awan. Kemahiran ini bukan lagi sesuatu yang khusus, sebaliknya menjadi keperluan merentasi hampir semua sektor ekonomi.
Bermula tahun 2027, Malaysia memberi tumpuan kepada pembangunan industri semikonduktor, khususnya dalam bidang IC design.
Kerajaan menetapkan sasaran untuk melahirkan 10,000 pereka IC bahagian hadapan. Sasaran dalaman YP adalah untuk melahirkan 2,000 bakat Bumiputera dalam bidang ini.
Penyertaan Bumiputera dalam bidang reka bentuk cip rendah bukan kerana mereka tidak mempunyai keupayaan, tetapi pendedahan kepada peluang dalam industri ini terhad.
YP memainkan peranan dengan membuka lebih banyak laluan kepada bakat Bumiputera untuk menyertai sektor bernilai tinggi melalui latihan, pensijilan dan pendedahan industri yang relevan.
Bidang perakaunan profesional juga penting. Jika Malaysia ingin meningkatkan daya saing dan bergerak ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, negara memerlukan lebih ramai akauntan bertauliah dan profesional kewangan.
Sehingga Jun tahun ini, kami telah berjaya menarik 6,713 bakat dalam sektor teknologi dan kira-kira 3,370 bakat dalam sektor profesional.
Apa sasaran YP dalam bidang reka bentuk IC?
Bagi mencapai sasaran 2,000 pereka IC, YP akan melaksanakan program perintis tahun ini yang melibatkan 150 bakat Bumiputera dalam reka bentuk IC.
Penyedia latihan akan melibatkan lima hingga enam institusi bagi menilai keberkesanan dan keteguhan kurikulum dalam memenuhi keperluan industri. Ketika ini, kami sedang memuktamadkan institusi latihan bersama pemain industri.
Peserta akan dilatih menggunakan platform industri seperti ARM Architecture, Synopsys dan Cadence. Latihan akan dilaksanakan melalui dua pendekatan, iaitu latihan sambil bekerja dan latihan sepenuh masa.
Program ini akan berlangsung selama enam bulan dan merangkumi latihan teknikal, latihan amali serta latihan sambil bekerja. Peserta yang belum mempunyai pekerjaan tetap juga boleh mengikuti latihan secara sepenuh masa.
Apa pencapaian YP dalam membangunkan akauntan profesional Bumiputera?
Bidang perakaunan membuktikan bahawa perubahan besar boleh dicapai melalui usaha yang konsisten dan berterusan. Ketika YP mula fokus kepada pembangunan akauntan profesional Bumiputera pada 2012, nisbah penyertaan adalah sekitar satu akauntan Bumiputera bagi setiap 500 akauntan bukan Bumiputera.
Tahun ini, buat pertama kalinya, jumlah ahli baharu Institut Akauntan Malaysia dalam kalangan Bumiputera telah mengatasi bukan Bumiputera.
Kini, kami sedang mengulangi kejayaan ini dalam bidang profesional lain seperti CFA (Chartered Financial Analyst) dan pensijilan lain.
Apa langkah seterusnya bagi YP?
Ketika saya menyertai Yayasan Peneraju pada tahun 2023, jumlah bakat dalam ekosistem kami adalah sekitar 50,000 orang. Hari ini, jumlah tersebut hampir mencecah 100,000 orang.
Fasa seterusnya ialah pembangunan kepimpinan. Fokus kini adalah mengenal pasti dan membangunkan bakat berpotensi tinggi yang boleh muncul sebagai pemimpin profesional, pemimpin perniagaan dan pemimpin komuniti.
YP telah menubuhkan Bahagian Kepimpinan yang khusus untuk mengenal pasti dan membangunkan bakat berpotensi tinggi dalam Talent Bank kami. Kami merancang memilih sekitar 10 peratus daripada Talent Bank untuk mengikuti program pembangunan kepimpinan yang lebih intensif.
Program ini akan dilaksanakan bersama institusi terkemuka seperti INSEAD, Melbourne Business School dan beberapa penyedia latihan antarabangsa yang lain.














