PETALING JAYA – Selama hampir tiga dekad, Inokom Corporation Sdn Bhd (Inokom)
melangkah maju untuk menjadi salah sebuah syarikat pemasangan automotif kontrak yang terkemuka di Malaysia, dan diyakini jenama-jenama automotif global kerana telah mencapai tahap piawaian yang tinggi secara konsisten.
Kemudahan operasinya yang seluas 80 hektar di Kulim, Kedah yang terletak di dalam Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) kini, berdiri teguh sebagai tunggak penting perniagaan Automotif bagi Sime Darby Berhad (Sime).
Sepanjang tahun 2021 hingga 2025, jumlah pengeluaran telah meningkat dengan
ketara, daripada 20,500 unit pada 2021 kepada lebih 31,800 unit pada 2025.
Malah dalam tempoh tersebut juga, syarikat telah mengeksport sebanyak lebih 24,500 unit ke pasaran serantau, sekaligus menempa nama sebagai salah satu pengeksport automotif terbesar di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, Inokom membuktikan keupayaan yang boleh dicapai oleh industri Malaysia.
“Syarikat terus diberi kepercayaan oleh jenama-jenama automotif terkemuka di dunia, dan ini menekankan keupayaan mendalam yang telah kami bina di Malaysia.
“Ini memang sejajar dengan kekuatan perindustrian dalam negara bernilai tinggi yang ingin dipupuk dan dilestarikan menerusi agenda GEAR-uP negara, khususnya sektor pembuatan bernilai tinggi yang dibina berasaskan kepakaran dan keupayaan Malaysia yang berdaya saing di peringkat global,” katanya dalam kenyataan.
Inokom mengeluarkan kenderaan untuk enam jenama automotif global meliputi ekosistem automotif utama, termasuk dari Jerman (BMW, MINI, Porsche), Jepun (Mazda), Korea (Hyundai) dan China (Chery).
Operasi ini menyokong pasaran domestik serta pasaran terpilih di rantau ASEAN.
Kemudahan bersepadunya termasuk fasiliti kimpalan badan kenderaan (body shops), fasiliti cat (paint shops), fasiliti pemasangan (assembly shops) dan gudang pusat (centralised warehouses), yang setakat ini disokong oleh seramai lebih 2,700 kakitangan mahir yang terdiri dari 100 peratus warga Malaysia.
Kerjasama antara Hyundai dan Inokom bermula seawal 1993 dan pada tahun 2000, kemudahan ini diperluas kepada pemasangan kenderaan komersial dan penumpang, bermula dengan Inokom Lorimas (Hyundai Porter), dan disusuli oleh Inokom Atos pada 2002.
Mazda, salah satu daripada rakan pemasangan Inokom yang paling lama serta syarikat usaha sama yang penting, telah melancarkan Mazda 3 yang dipasang dalam negara pada 2012, menjadikannya satu-satunya kilang pemasangan bagi kenderaan yang dipasang sepenuhnya di rantau ASEAN pada ketika itu.

Pada 2021, Porsche memilih Inokom sebagai kemudahan pemasangan pertamanya di luar Eropah, perkembangan yang mencerminkan keyakinan terhadap piawaian pembuatan Malaysia.
Pemasangan dalam negara seterusnya diperluas pada 2024 untuk meliputi
eksport ke Thailand.
Kemunculan Chery pada 2023 sebagai rakan pemasangan terus meluaskan portfolio
Inokom, menjadikannya tapak pengeluaran bagi model-model seperti siri Omoda dan Tiggo, termasuk Chery Omoda E5, kenderaan elektrik (EV) pertama yang dipasang Inokom. I
Ini adalah langkah penting sambil pengeluar automotif China ini meluaskan jejaknya di Asia Tenggara menerusi kenderaan enjin pembakaran dalaman dan juga elektrik.
Inokom turut menempatkan Kilang Pemasangan Enjin BMW Group, yang membekalkan enjin secara terus kepada fasiliti pemasangan kenderaan premium tersebut.
Fasiliti pemasangan ini ditubuhkan hasil kerjasama bersama Sime pada tahun 2003 dan mula beroperasi di Inokom sejak 2009.
Kini, kilang tersebut merupakan kilang pemasangan enjin BMW ketiga terbesar di dunia, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Inokom sebagai hab
pembuatan bernilai tinggi di rantau ini.
Sejak tahun 2018, BMW Group telah mengeksport lebih daripada 11,800 unit kenderaan BMW dan MINI yang dipasang di Inokom ke pasaran
Filipina dan Thailand. -KOSMO! ONLINE














