fbpx
Ahmad Zahid ketika perbentangan RUU Jenayah Siber 2026 di Dewan Rakyat hari ini. FOTO JAPEN

RUU Jenayah Siber 2026 perkukuh benteng negara tangani ancaman digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini disifatkan sebagai langkah penting untuk memperkukuh keupayaan negara membanteras jenayah siber yang semakin kompleks seiring perkembangan teknologi digital.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, RUU berkenaan digubal bagi menutup jurang dalam undang-undang sedia ada, selain memperkukuh aspek pencegahan, pengesanan dan penguatkuasaan supaya sistem perundangan negara kekal relevan dengan cabaran siber semasa.

“Penggubalan undang-undang oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) Jabatan Perdana Menteri itu mengguna pakai prinsip technology-neutral seperti dalam Konvensyen Budapest dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Ia akan dikuatkuasakan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta NACSA,” katanya ketika membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, RUU tersebut turut memperuntukkan penubuhan Jawatankuasa Memerangi Jenayah Siber yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara bagi menyelaras usaha membanteras jenayah siber.

Katanya, selain memperuntukkan kesalahan seperti penggodaman, serangan perisian tebusan, perisian hasad dan penyalahgunaan peranti, RUU itu turut meliputi pemalsuan serta penipuan berkaitan komputer.

Dalam masa sama, Ahmad Zahid berkata, undang-undang itu turut memperkenalkan kesalahan berkaitan penyalahgunaan identiti digital MyDigital ID bagi melindungi maklumat identiti dan biometrik pengguna daripada disalah guna untuk tujuan jenayah.

“RUU ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk melindungi keselamatan negara, kepentingan awam dan kesejahteraan rakyat.

“Undang-undang ini juga diyakini dapat meningkatkan keyakinan rakyat serta komuniti perniagaan terhadap keselamatan ruang digital negara, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi digital dan daya saing Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN