Paradoks ditakrifkan sebagai suatu keadaan yang kelihatan bertentangan atau bercanggah pada luarannya, namun jika diteliti dengan lebih mendalam, ia sebenarnya mengandungi kebenaran hakiki yang sukar untuk dinafikan.
Situasi sedemikian rupa seolah-olah memaksa kita untuk mengiyakan satu bentuk ketidaklogikan yang akhirnya terbukti sangat logik berasaskan realiti semasa.
Rentetan itu, wajarlah untuk kita mempersoalkan sama ada masyarakat hari ini sebenarnya sedang terperangkap dalam paradoks limpahan maklumat, yang bukannya evolusi ke arah kebijaksanaan, malahan membawa kepada kemerosotan intelek.
Sebelum kita mengupas isu lambakan maklumat ini dengan lebih meluas, ada baiknya kita meneliti dimensi paradoks yang sering berlaku dalam rencam kehidupan seharian kita terlebih dahulu.
Sebagai contoh yang paling dekat, individu yang memiliki ribuan rakan di platform Facebook adakalanya merupakan insan yang paling sunyi dan terasing daripada interaksi sosial yang sebenar.
Begitu juga dengan trend pemakanan moden, di mana golongan yang berpeluang menikmati pelbagai variasi makanan mewah jarang sekali menjadi kelompok masyarakat yang memiliki tahap kesihatan yang paling optimum.
Di alam pekerjaan pula, kita sering menyaksikan kakitangan yang kelihatan paling sibuk menguruskan urusan harian, namun realitinya mereka tidak semestinya menjadi individu yang paling produktif dalam menghasilkan impak kerja.
Kemudahan akses
Berdasarkan ketiga-tiga contoh paradoks tersebut, hujah utama saya ialah kewujudan era maklumat di hujung jari sepatutnya memberi kelebihan kepada manusia untuk membuat keputusan yang lebih matang kerana disokong oleh data yang mencukupi.
Namun secara ironinya, kemudahan akses yang membolehkan pencarian maklumat semudah satu klik ini langsung tidak mencerminkan realiti pembuatan keputusan dalam masyarakat moden hari ini.
Kebanjiran maklumat yang tidak ditapis ini gagal membuatkan pemikiran kita menjadi lebih jelas, tidak membantu ketepatan keputusan, dan gagal mengawal risiko luaran dengan lebih sistematik.
Sebaliknya, apa yang sering berlaku adalah keputusan akhir yang bersifat melulu dan spontan, sebahagian besarnya didorong oleh desakan emosi semata-mata sambil mengabaikan fakta sahih yang sepatutnya membantu.

Isu lambakan informasi ini bukan sekadar terhad kepada lingkungan ahli akademik yang sedang menyiapkan kajian, mahupun pihak pengurusan strategik korporat yang menilai risiko syarikat, malah ia boleh melanda sesiapa sahaja dalam urusan sekecil membeli alas meja.
Katakan kita sedang melayari platform e-dagang untuk mencari sehelai alas meja, kita akan disajikan dengan lambakan pilihan daripada pelbagai penjual domestik mahupun antarabangsa yang menawarkan harga yang kompetitif.
Dalam kepelbagaian itu, ada barangan yang mampu dihantar pada hari yang sama, manakala ada pula yang menuntut tempoh menunggu sehingga dua minggu kerana perlu diuruskan dari negara China.
Situasi menjadi lebih rumit apabila kita terpaksa menilai antara penjual yang memiliki reputasi lima bintang dengan kedai-kedai baharu yang masih belum mempunyai sebarang rekod transaksi pelanggan.
Urusan yang pada asalnya dianggap remeh-temeh ini rupa-rupanya menuntut ketelitian yang tinggi, sekaligus membuktikan bahawa proses pembelian barangan harian tidak lagi sesederhana dahulu.
Akibatnya, kita mula membuang masa untuk mengoptimumkan limpahan data ini, lalu memberikan maklum balas yang salah dengan memilih barangan berasaskan isyarat emosi berbanding alasan komersial yang munasabah.
Maka tidak mengherankan jika ramai antara kita yang dilingkari rasa kesal sejurus selepas menekan butang bayar, hanya kerana baru menyedari kewujudan penjual lain yang menawarkan produk serupa pada harga yang jauh lebih murah.
Analogi mudah mengenai pembelian alas meja ini sebenarnya mencerminkan krisis yang lebih makro tentang bagaimana lambakan maklumat gagal diterjemahkan sebagai ilmu yang membawa makna dalam kehidupan.
Nicholas Carr melalui karyanya yang mendapat perhatian global, The Shallows: How the Internet is Changing the Way We Think, Read and Remember melahirkan kegusaran mendalam mengenai impak internet terhadap cara manusia berfikir, berkomunikasi, dan bersosial.
Perangkap teknologi
Melalui naskhah tersebut, beliau menegaskan bahawa budaya Internet akhirnya melahirkan generasi pemikir yang dangkal dan secara tidak sedar memupuk kejahilan yang berakar umbi dalam masyarakat.
Buku yang diterbitkan pada tahun 2011 itu ditulis bagi merespons kepesatan internet pada fasa awal, namun ledakan maklumat hari ini telah melonjak berlipat kali ganda menerusi kehadiran ejen Kecerdasan Buatan (AI).
Teknologi AI seperti ChatGPT kini berupaya menyusun, memproses, dan mempersembahkan maklumat kompleks dalam bahasa tabii yang santun demi meminimumkan beban kognitif serta memaksimumkan penyerapan data oleh pengguna.
Walau bagaimanapun, kecenderungan ChatGPT untuk menawarkan panduan langkah demi langkah yang terlalu panjang lebar akhirnya menjebak pengguna ke dalam kitaran paradoks kelimpahan maklumat yang baharu.
Meskipun pengguna berasa puas dan gembira menerima jawapan yang begitu terperinci, mereka sebenarnya sedang bergelut dan mengalami kesukaran untuk mengingati semula kronologi maklumat yang telah dibaca.
Fenomena ini amat membimbangkan, terutamanya dalam ekosistem institusi pendidikan tinggi di mana para pensyarah kini tidak lagi mampu membendung gelombang penggunaan AI dalam kalangan mahasiswa semasa menyiapkan tugasan akademik.
Kegagalan menyekat teknologi ini membuktikan bahawa usaha mengekang AI adalah satu peperangan yang mustahil untuk dimenangi oleh mana-mana institusi formal.
Oleh itu, agenda utama dalam membina modal insan muda di menara gading sekarang harus ditumpukan kepada kaedah dan strategi pengurusan maklumat secara bijak dan beretika.
Generasi muda perlu dilatih agar berupaya menapis ‘kebisingan’ data, bijak memilih sumber yang mempunyai kewibawaan akademik, dan seterusnya menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa paradoks ini.
Semoga kita semua lebih cakna dengan implikasi buruk lambakan informasi ini agar kita dapat mengelakkan diri daripada terus menjadi pengguna jaringan digital yang celik teknologi tetapi jahil ilmu.
Khuraisah Mohd. Nasir merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Matematik dan Sains Komputer, Kolej Poly-Tech MARA, Bangi dan calon Doktor Falsafah di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia














