IPOH – Mangsa samun di sebuah gerai nasi bajet di Lebuh Meru Raya di sini semalam, mengakui masih trauma dan dihantui ketakutan susulan kejadian menakutkan yang dialaminya.
Nor Atheerah Nadzirah Mior Ikram Shah, 21, berkata, kejadian itu memberi kesan mendalam sehinggakan dia mudah terkejut selain tidak berani tinggal bersendirian.
“Saya tak boleh duduk seorang, saya jadi takut. Lepas itu saya tak boleh terkejut, terkejut apa-apa pun tak boleh. Malam tadi saya boleh tidur pun sebab tidur dengan mama. Mama cakap saya tidur nyenyak,” katanya di gerainya di sini hari ini.
Menceritakan semula kejadian, lepasan diploma Kolej Vokasional Ipoh (KV Ipoh) itu berkata, ketika kejadian dia yang membantu ibunya di gerai, berniaga bersendirian kerana wanita itu keluar menghantar makanan bersama seorang pembantu.
Katanya, ketika itu, dua lelaki menaiki sebuah motosikal singgah di gerai tersebut sebelum seorang daripadanya berpura-pura membuat pesanan makanan untuk dibungkus.
“Saya memang tidak sedap hati apabila melihat tingkah laku lelaki itu kerana dia seperti mengelak daripada memandang saya.
“Ketika saya mencedok lauk, saya nampak kakinya menggeletar selain kelihatan sangat kurus. Dia juga seperti berpura-pura melihat lauk, macam tidak bersungguh-sungguh hendak membeli,” katanya.
Menurut anak ketiga daripada empat beradik itu, tindakan lelaki berkenaan melarikan peti wang dan telefon bimbitnya menyebabkan dia panik sebelum bertindak mengejar suspek tanpa memikirkan keselamatan diri.
Katanya, dia turut menjerit meminta pertolongan daripada sebuah kereta yang kebetulan melalui kawasan itu sebelum ternampak ibunya membuat pusingan U untuk kembali ke gerai.
“Mama cuba kejar motosikal itu tapi tak dapat. Saya tak tahu nak buat apa, cuma mampu jerit dan menangis,” katanya.
Menurutnya, dia juga berasa sangat sedih dan terkilan kerana gagal menjaga wang hasil jualan yang diperoleh hasil penat lelah ibunya berniaga.
“Saya rasa sangat serba salah dengan mama. Saya minta maaf banyak kali sebab tak dapat jaga duit berniaga itu. Orang mungkin nampak RM300 itu kecil, tapi bagi kami nak dapatkannya sangat susah.
“Saya tolong mama berniaga setiap hari, jadi saya tahu macam mana susahnya mencari duit. Mama bangun pukul 3 pagi untuk memasak. Sebagai anak perempuan, saya cuma nak jadi yang terbaik untuk mama,” katanya sambil menangis.
Dalam kejadian sekitar pukul 12 tengah hari itu, dua suspek menunggang motosikal yang menyamar sebagai pelanggan melarikan peti wang mengandungi wang tunai RM300 dan sebuah telefon bimbit jenis iPhone 13 milik Nor Atheerah.
Kejadian tersebut mendapat perhatian selepas tular di media sosial menerusi rakaman video berdurasi satu minit 25 saat yang dirakam Nor Atheerah ketika sedang bersiaran langsung di aplikasi TikTok. – KOSMO! ONLINE














