fbpx
Noor Helmy menungjukkan wang yang diserahkan oleh Azlan, kelmarin,

OKU menggigil jumpa duit, terus serah pada YB Helmy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) fizikal tampil menyerahkan wang tunai yang ditemuinya terus kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem, sebelum diserahkan kepada pihak polis, kelmarin.

Menurut lelaki yang ingin dikenali sebagai Azlan itu, dia mengambil keputusan tersebut kerana khuatir berdepan kesukaran untuk menjelaskan situasi penemuan wang itu kepada pihak polis dan lebih selesa untuk menyerahkannya kepada Mohd. Noor Helmy.

“Saya menggigil bila jumpa duit sebanyak itu, jadi tak tentu arah dan terus saya teringat YB, jadi saya ke pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Duyong untuk serahkannya.

“Nak pergi balai polis saya takut sebab tak pandai nak cakap macam mana, lagi pula banyak duit itu. Nak buat minum pun saya takut apa nak jawab di ‘sana’ nanti,” katanya.

Difahamkan, Azlan turut sanggup menunggu Mohd. Noor Helmy yang ketika itu masih menghadiri program rasmi sebelum menyerahkan sendiri wang berkenaan.

Sementara itu, Mohd. Noor Helmy berkata, beliau terkejut dengan tindakan lelaki berkenaan yang memilih untuk menyerahkan wang tersebut walaupun hidup dalam kekurangan.

“Dia tidak menjadikan kekurangan diri sebagai alasan untuk ambil hak orang lain. Sifat sebegini sangat jarang ditemui dan saya hargai kejujuran abang Azlan walaupun diuji dengan keadaan OKU fizikal,” ujarnya ketika ditemui pemberita.

Menurut beliau, wang tunai berkenaan telah diserahkan kepada Balai Polis Kandang bagi membantu mengesan pemilik sebenar.

Beliau berkata, mana-mana individu yang kehilangan wang dalam jumlah besar boleh hadir ke balai berkenaan untuk membuat semakan dengan pihak polis selain perlu mengemukakan maklumat seperti jumlah, lokasi dan waktu kehilangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN