PETALING JAYA – DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) mencatat hasil sebanyak RM4.76 bilion, naik 15.7 peratus bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (S1 2026) berbanding RM4.11 bilion pada suku yang sama tahun sebelumnya (S1 2025).
Pertumbuhan hasil ini dipacu oleh sumbangan yang lebih kukuh daripada segmen mobiliti, perbankan dan pos.
Antara pemacu utama termasuklah peningkatan volum daripada jualan Proton, penyatuan CTRM AeroSystems Sdn. Bhd. (dahulunya dikenali sebagai Spirit AeroSystems Malaysia Sdn. Bhd.) susulan pengambilalihannya baru-baru ini, peningkatan pendapatan
pembiayaan di Bank Muamalat serta penambahbaikan dalam aktiviti penerbangan, kurier dan logistik dalam kumpulan Pos Malaysia.
Kumpulan mencatatkan keuntungan pra-cukai (PBT) yang meningkat lebih dua kali ganda kepada RM192.40 juta, berbanding RM92.62 juta pada S1 2025.
Peningkatan ini didorong terutamanya oleh keuntungan yang lebih kukuh daripada Proton dan Bank Muamalat, serta pengurangan
kerugian dalam Kumpulan Pos Malaysia, mencerminkan jualan yang lebih tinggi, kecekapan kos yang lebih baik serta disiplin kawalan kos yang berterusan.
Walau bagaimanapun, pencapaian ini sebahagiannya diimbangi oleh sumbangan yang lebih rendah daripada segmen perkhidmatan dan
hartanah.
Kumpulan turut mencatatkan keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat sebanyak RM45.00 juta bagi S1 2026, berbanding RM17.72 juta pada S1 2025, selaras dengan
prestasi pra-cukai yang lebih kukuh pada suku tersebut.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, bagi prospek tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, Kumpulan prospek yang sederhana.
Protonmenunjukkan momentum yang kukuh pada S1 2026 dengan mencatat prestasi suku pertama yang cemerlang sebanyak 49,140 unit jualan, iaitu peningkatan 40.1 peratus tahun-ke-tahun.
Syarikat ini kekal berada pada kedudukan yang baik untuk meneruskan trajektori pertumbuhannya, disokong oleh pengembangan dalam kehadirannya dalam segmen kenderaan elektrik (“EV”).
Strategi elektrifikasinya terus mendapat sambutan, di mana e.MAS 5 muncul sebagai EV terlaris di Malaysia, mencatat jualan sebanyak 6,701 unit setakat ini.
Dalam segmen Perbankan, Kumpulan terus memperkukuh kedudukannya dalam kewangan Islam serta meluaskan agenda digitalnya melalui pelancaran ATLAS, sebuah platform perbankan digital patuh Syariah, oleh Bank Muamalat.
Sementara itu, dalam subsegmen Aeroangkasa, Kumpulan
meluaskan keupayaan pembuatan komposit serta pemasangan struktur aero susulan pengambilalihan CTRM AeroSystems Sdn. Bhd. baru-baru ini, sekali gus memperkukuh kehadiran Kumpulan merentas rantaian nilai aeroangkasa.
Dalam segmen Pos, Pos Malaysia kekal memberi tumpuan kepada pengurangan kerugian melalui pelan transformasinya, disokong oleh rasionalisasi rangkaian, peluasan saluran digital serta
pengurusan berhemah terhadap struktur kos dan campuran hasilnya. -KOSMO! ONLINE














