Wisma DRB-HICOM di Shah Alam

DRB-HICOM catat untung pra-cukai RM335.59 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – DRB-HICOM Berhad mencatatkan keuntungan pra-cukai sebanyak RM335.59 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, iaitu lebih lima kali ganda berbanding RM64.74 juta yang direkodkan dalam suku sama tahun lepas.

Peningkatan ketara ini didorong oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen Mobiliti, Hartanah dan Perbankan, disokong oleh peningkatan jualan, prestasi operasi yang lebih baik serta pengurusan kos yang berkesan.

Hasil Kumpulan meningkat 35.4 peratus kepada RM6.08 bilion, berbanding RM4.49 bilion tahun lepas didorong oleh peningkatan hasil merentasi semua segmen perniagaan.

Bagi sembilan bulan pertama tahun 2026, Kumpulan mencatatkan keuntungan pra-cukai sebanyak RM676.11 juta, iaitu lebih dua kali ganda berbanding RM280.55 juta yang direkodkan dalam tempoh yang sama pada 2025.

Mengulas prospek tahun kewangan semasa, DRB-HICOM berkata, bagi segmen Mobiliti Kumpulan, Proton telah menunjukkan momentum jualan yang kukuh, dengan jualan mencecah 153,316 unit dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026, sekali gus megatasi jumlah jualan tahunan sebanyak 151,564 unit yang dicatatkan pada tahun 2025.

“Bagi segmen Pos, Kumpulan kekal yakin dengan komitmen berterusan kerajaan untuk menubuhkan Dana Perkhidmatan Pos, yang diperkukuhkan lagi melalui pengumuman pada 9 Oktober 2026 mengenai peruntukan sebanyak RM150 juta kepada dana tersebut menjelang suku pertama 2027.

“Pos Malaysia terus menumpukan usaha terhadap perlaksanaan pelan transformasinya, yang disokong oleh kemajuan berterusan dalam reformasi kawal selia serta peningkatan kecekapan operasi bagi membolehkan syarikat menyesuaikan diri dengan landskap pasaran yang semakin berubah.

“Sementara itu, segmen perniagaan Kumpulan yang lain iaitu Perbankan, Perkhidmatan dan Hartanah terus memberi tumpuan kepada pengukuhan kecemerlangan operasi serta mempercepat pelaksanaan inisiatif pendigitalan masing-masing.

“Dengan memanfaatkan teknologi, inovasi dan sinergi merentas segmen, Kumpulan terus membuka peluang baharu untuk menjana nilai mampan jangka panjang merentasi portfolio perniagaannya yang pelbagai,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN