fbpx
RAKAMAN live TikTok yang memaparkan dua suspek berpura-pura untuk membeli makanan sebelum melarikan peti wang dan telefon bimbit milik peniaga nasi bajet di Lebuh Meru Raya, Ipoh hari ini.

Peniaga nasi bajet rugi RM2,000 disamun ketika bungkus makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Seorang peniaga kerugian kira-kira RM2,000 selepas peti wang dan telefon bimbit miliknya dilarikan dua lelaki dalam kejadian di gerai nasi bajet di Lebuh Meru Raya, di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu tular di media sosial selepas ‘live’ atau rakaman video secara langsung menerusi TikTok itu dimuat naik di media sosial.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut daripada mangsa berusia 21 tahun pada hari sama.

Katanya, semasa kejadian, pengadu sedang berniaga dan membungkus makanan sebelum didatangi dua lelaki menaiki motosikal jenis Yamaha Y15ZR untuk membeli makanan.

“Ketika pengadu sedang membungkus nasi, suspek dipercayai mengambil kesempatan melarikan peti wang mengandungi wang tunai dan telefon bimbit milik mangsa.

“Suspek kemudian melarikan diri menaiki motosikal ke arah Bulatan Meru Raya,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, anggaran kerugian keseluruhan dialami mangsa adalah kira-kira RM2,000 melibatkan wang tunai dan telefon bimbit.

Katanya, usaha sedang dijalankan bagi mengesan kedua-dua suspek untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

“Polis sedang giat mengesan suspek yang terlibat dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2451500 atau tampil ke balai polis berhampiran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN