KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum memberi bayangan mengenai Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) diadakan pada tahun ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, fokus utama Kerajaan Perpaduan ketika ini adalah untuk menyelesaikan pelbagai isu rakyat terutama golongan penjaja, peniaga kecil dan mereka yang memerlukan bantuan.
“Perdana Menteri belum memberi apa-apa ‘signal’ (petanda) PRU16 akan berlangsung pada tahun ini, tapi memang Perdana Menteri menegaskan usaha-usaha untuk menyelesaikan masalah rakyat terutama rakyat biasa mesti disantuni dan diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis Anugerah Cemerlang SPM dan Sambutan Hari Guru Lembah Pantai 2026 di Dewan Merbau, IWK Ecopark di sini hari ini.
Fahmi berkata, pimpinan Pakatan Harapan (PH) bagaimanapun diingatkan supaya sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Katanya, walaupun belum ada kepastian mengenai pilihan raya dalam masa terdekat, persediaan jentera tetap perlu diperkukuh dari semasa ke semasa.
“Kita tahu Johor mungkin akan ada pilihan raya walaupun mungkin bukan sekarang, tapi tidak mustahil dalam masa yang tidak terlalu lama. Kita perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan berkaitan PRN Johor,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Konvensyen PH peringkat Kebangsaan akan berlangsung di Johor pada 17 Mei ini melibatkan lebih 3,000 perwakilan dari seluruh negara.
Konvensyen itu bakal menjadi platform penting bagi pimpinan utama PH menyampaikan hala tuju dan gerak kerja parti menjelang pilihan raya akan datang. – KOSMO! ONLINE














