ALOR GAJAH – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hampir pasti diadakan dalam tempoh 120 hari lagi selepas kerajaan negeri tidak bercadang menunggu sehingga tamat penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) pada penghujung tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, pilihan raya perlu diadakan lebih awal bagi mengelakkan proses PRN bertembung dengan bulan Ramadan.
Menurut beliau, sekiranya menunggu sehingga tamat penggal DUN pada 30 Disember ini, tempoh pilihan raya yang perlu diadakan dalam masa 60 hari selepas itu dijangka jatuh hampir Ramadan.
“Pastinya dalam tempoh 120 hari lagi sebab kita tidak boleh tunggu sehingga tarikh tamat penggal DUN pada 30 Disember ini kerana tempoh pilihan raya yang perlu diadakan dalam masa 60 hari selepas itu sudah hampir masuk Ramadan.
“Jadi kita melihat waktu yang sesuai dalam tempoh 120 hari ini dan kebolehupayaan untuk mengadakan pilihan raya mengikut perancangan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sirih Pulang Ke Gagang di Villa D’Acqua Kampung Pulau di sini, malam tadi.
Pada majlis itu, Ab. Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka menerima borang keahlian UMNO daripada 190 individu dari seluruh Parlimen Masjid Tanah.
Mengulas lanjut, beliau berkata, gerak kerja menghadapi PRN sebenarnya telah dimulakan sejak tahun lalu dengan semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) di seluruh negeri sudah diaktifkan.
Pada PRN Melaka ke-15 tahun 2021, BN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan. – KOSMO! ONLINE














