GRADUAN baharu PhD merakam swafoto di hadapan papan tanda Universiti Peking. – UNIVERSITI PEKING

Semakin ramai lulusan PhD pilih jadi guru sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BEIJING – China melahirkan bilangan pemegang ijazah doktor falsafah(PhD)  pada tahap rekod, tetapi berikutan pekerjaan di universiti dan institut penyelidikan yang semakin terhad, ramai antara mereka mengambil alternatif untuk menjadi  guru di sekolah menengah, lapor laman berita VNExpress kelmarin.

Kesemua 21 guru baharu dalam senarai pengambilan tahun ini di Sekolah Menengah Shenzhen, wilayah Guangdong memegang ijazah sarjana atau lebih tinggi, dengan lima daripada mereka adalah lulusan PhD, lapor Nikkei Asia.

Guru lulusan PhD kejuruteraan elektrik dari Universiti Tsinghua akan mengajar matematik, manakala lulusan PhD dari Universiti Cambridge akan mengajar fizik. 

Pemegang ijazah  PhD dari Universiti Fudan pula akan mengajar kimia, manakala seorang lulusan dari Universiti Akademi Sains China akan melatih pasukan Olimpiad matematik sekolah tersebut.

Kes sedemikian bukanlah sesuatu yang jarang berlaku, memandangkan sekolah-sekolah menengah utama di bandar-bandar tingkat pertama dan kedua di China semakin menarik minat pemegang PhD.

Pada tahun 2025,  Sekolah Menengah Suzhou dalam wilayah Jiangsu telah mengambil 13 guru baharu, dengan lapan daripada mereka memegang ijazah PhD dan 10  merupakan graduan Universiti Tsinghua atau Universiti Peking yang beprestij.

Universiti dan institut penyelidikan telah lama menjadi destinasi biasa bagi pemegang PhD, dan peralihan ini mencetuskan perdebatan mengenai peluang pekerjaan untuk penyelidik paling terlatih di China.

Data Kementerian Pendidikan yang dikeluarkan pada Julai lalu menunjukkan bahawa 201,600 pelajar memulakan program doktor falsafah pada tahun 2025, meningkat 17.8 peratus berbanding tahun sebelumnya. 

Jumlah pelajar PhD meningkat kepada 753,600 orang, manakala graduan PhD bertambah kepada 112,900, kesemuanya mencatatkan tahap rekod tertinggi.

Sejak tahun 2024, China telah berusaha membina kumpulan penyelidik berkemahiran tinggi yang besar bagi menyokong transformasi ekonomi, sains, dan teknologinya.

Namun, sektor pengajian tinggi tidak berkembang cukup pantas untuk menggaji mereka semua, kata ruangan itu.

Kira-kira 60 peratus daripada pelajar doktor falsafah di China berharap untuk berkhidmat di universiti, demikian menurut tinjauan pada tahun 2022. 

Namun angka Kementerian Pendidikan China menunjukkan bahawa kurang 40 peratus graduan PhD tahun 2023 menyertai universiti atau institut penyelidikan menjelang akhir Ogos tahun sama.

Mereka yang tidak mendapat peluang tersebut masih boleh mencari pekerjaan lain, namun membina kerjaya yang stabil dianggap lebih sukar berbanding sebelum ini.

Sesetengah universiti kini mengamalkan sikap lebih berhati-hati dalam pengambilan pekerja dan telah memotong jawatan dalam sesetengah bidang, lapor The Epoch Times. 

Saluran pengambilan jawatan tradisional bagi pemegang PhD berdepan ketidakseimbangan yang ketara antara penawaran dan permintaan, seiring dengan persaingan yang sengit.

Sekiranya trend ini berterusan, pemegang PhD akan berdepan persaingan yang lebih sengit untuk jawatan akademik, lapor  Times Higher Education.  – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN