PARA peserta bersedia untuk dilepaskan beramai-ramai pada saingan LEKAS Highway Ride malam tadi. - IHSAN PENGANJUR

LEKAS Highway Ride ke-11 terus dapat sambutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Penganjuran kayuhan waktu malam, RHB LEKAS Highway Ride 2026 terus mendapat tempat dalam kalangan peminat sukan berbasikal apabila menerima sambutan menggalakkan menerusi penyertaan 4,528 peserta dari 27 buah negara.

Perlumbaan yang melalui Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) mengubah wajah laluan tersebut apabila dibanjiri ribuan peserta berbasikal yang bersaing dalam kategori utama 105 kilometer (km) serta 78km, 17km dan 12km.

Memasuki edisi ke-11, Lekas Highway Ride berjaya mengukuhkan kedudukan dalam kalendar sukan berbasikal di Malaysia, sekali gus menarik minat peserta-peserta yang mahu merasai pengalaman unik.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan RHB, Datuk Mohd. Rashid Mohamad berkata, kayuhan waktu malam itu bukan sekadar perlumbaan, malah ia menjadi medan untuk peserta meluangkan masa bersama rakan sepasukan atau keluarga.

“Berkayuh di lebuh raya tertutup pada waktu malam memberikan pengalaman yang berbeza berbanding aktiviti kayuhan lain. Jalan yang terbuka luas serta kilauan lampu menjadikan ia lebih berbeza.

“Ada yang hadir untuk berlumba dan menguji kemampuan diri manakala ada juga yang sekadar mahu menikmati suasana malam bersama rakan dan keluarga masing-masing,” katanya.

Sementara itu, beliau yang turut menyertai kategori 17km merakamkan penghargaan kepada semua peserta, rakan kongsi serta penyokong kerana setia menantikan acara tersebut selepas ditangguhkan sebelum ini akibat jerebu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para peserta, rakan kongsi dan penyokong atas kesabaran kerana terpaksa tangguhkan kayuhan sebelum ini akibat jerebu. Kami berbesar hati menyambut semula kehadiran anda,” ujar Rashid. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN