SEREMBAN – Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun tekad untuk menyerahkan Negeri Sembilan dalam keadaan baik dan terurus menjelang pilihan raya yang dijangka tidak lama lagi.
Tekad itu diumumkan menerusi Ceramah Perdana Pimpinan Utama Pakatan Harapan (PH) di Tempat Letak Kereta, Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini, hari ini.
Beliau yang merupakan Pengerusi PH Negeri berkata, tekad itu juga akan terus diamalkan oleh kesemua Exco Kerajaan Negeri dari gabungan parti berkenaan untuk kesejahteraan rakyat di negeri ini.
“Kita nak tunjuk, kita akan terus bekerja… rakan-rakan saya di hadapan ini terutamanya Exco Kerajaan Negeri akan terus bekerja untuk pastikan negeri ini dalam keadaan baik (yang)..maju. kita akan serahkan pada pilihan raya untuk kita lawan siapa pun,” tegasnya di hadapan ribuan penyokong.
Terdahulu, beliau yang juga Naib Presiden PKR meluahkan perasaannya apabila berdepan situasi krisis politik di negeri ini susulan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Negeri Sembilan menarik kepercayaan ke atas dirinya.
“Saya juga rasa tercalar, saya rasa hiba, rasa terperanjat, peristiwa yang berlaku awal pagi tanpa dimaklumkan kepada rakan-rakan lain, di luar perancangan dan pengetahuan kita.
“Apa yang penting sebagai ahli parti, sebagai penyokong, sebagai orang atas pagar, kita perlu maklum perkara ni. Kita perlu kuatkan saf-saf kita, Amanah, Keadilan (PKR), DAP dalam PH ini. Kita harus bersiap sedia dalam apa cara pun. Kita kena bekerja sebagai saf untuk pasukan memastikan kemenangan pada pilihan raya akan datang,” katanya. – KOSMO! ONLINE














