KLUANG – Dua orang lelaki ditahan polis selepas disyaki memiliki sepucuk pistol palsu ketika dibuat pemeriksaan dalam rondaan cegah jenayah di Pekan Kahang di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, penahanan kedua-dua lelaki berusia 22 dan 32 tahun pada pukul 2.30 petang itu dilakukan selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan ketika menaiki sebuah kereta.
Katanya, ketika pemeriksaan dilakukan, polis menjumpai sepucuk pistol palsu di dalam kenderaan dinaiki kedua-dua tahanan.
“Hasil semakan kereta dinaiki suspek tiada laporan kehilangan dilaporkan namun ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis Methamphetamine.
“Semakan rekod jenayah lampau mendapati saspek pertama mempunyai satu rekod berkaitan jenayah dan tiga rekod berkaitan dadah manakala saspek kedua, satu rekod dadah,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Bahrin lagi, kes akan disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Permohonan tahanan reman keatas kedua-dua tahanan akan dilakukan hari ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE