Tertuduh selepas membayar ikat jamin sebentar tadi.

Pemandu BYD selesai bayar ikat jamin RM36,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pemandu kereta BYD, Raeven Goh Wey Haur yang berdepan tiga pertuduhan susulan kemalangan maut di Jalan Kuching di sini Sabtu lalu selesai membayar ikat jamin berjumlah RM36,000 di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Tertuduh berusia 24 tahun yang memakai pelitup muka dilihat keluar dari kompleks mahkamah pada pukul 12 tengah hari dengan diriingi bapanya dan peguam.

Terdahulu, pegawai bank itu mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Pindaan 2024).

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati memandu kereta BYD Seal dengan cara berbahaya kepada orang awam hingga menyebabkan kematian Asiah Ahmad Syahir, 5, yang mana pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987 (Pindaan 2024) dan boleh dihukum di bawah akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM50,000.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa memandu kenderaan sama secara berbahaya kepada orang awam dalam kemalangan dan gagal berhenti.

Dia didakwa mengikut Seksyen 42(1) dan Seksyen 52(1) dan boleh dihukum dibawah Seksyen 119 (2) APJ 1987.

Seksyen 42 (1) memperuntukkan hukuman pemenjaraan tidak lebih lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000.

Sementara itu, Seksyen 52 (1) dan di bawah Seksyen 119 (2) pula memperuntukkan denda tidak kurang RM2,000 atau pemenjaraan tidak lebih enam bulan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Jalan Kuching dari arah pusat bandar menghala ke Segambut pada pukul 3.44 petang, 10 Oktober lalu.

Mahkamah menetapkan 19 November ini bagi sebutan semula kes tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN