fbpx
BRAZIL perlu segera meningkatkan tahap prestasi mereka menjelang aksi menentang Jepun untuk memastikan mereka mampu meneruskan kemaraan. - AFP

Piala Dunia 2026: Brazil bakal hadapi laluan berliku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HOUSTON – Brazil bakal turun dengan misi menebus maruah apabila bertemu Jepun pada Pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 di Houston awal pagi esok, sekali gus menjadi ujian sebenar buat pengendali, Carlo Ancelotti.

Pertemuan itu mengembalikan kenangan pahit skuad Samba yang tewas 2-3 kepada Jepun dalam aksi persahabatan di Tokyo pada Oktober tahun lalu meskipun terlebih dahulu mendahului 2-0.

Kekalahan tersebut menjadi antara detik paling sukar buat Ancelotti selepas mengambil alih Brazil ketika pasukan itu sedang bergelut dan baru menamatkan kempen kelayakan Piala Dunia paling buruk dalam sejarah mereka.

“Ketika ini kami masih belum sempurna. Namun, saya gembira kerana pasukan sudah banyak meningkat berbanding perlawanan pertama. Kini kami memasuki fasa kalah mati dan kami perlu menunjukkan semangat juang sebenar,” katanya.

Brazil kini hadir dengan keyakinan lebih tinggi selepas mencatat dua kemenangan berturut-turut dalam saingan kumpulan, selain menyaksikan Vinicius Junior meledak empat gol dan Neymar kembali menyarung jersi kebangsaan selepas tiga tahun bergelut dengan kecederaan.
Neymar yang kembali menyertai skuad kebangsaan selepas sekian lama ketika perlawanan menentang Scotland, merupakan antara pemain yang paling teruja untuk beraksi menentang Jepun.

Dia telah menjaringkan lebih banyak gol berdepan Jepun berbanding mana-mana pasukan lain sepanjang kariernya apabila meledak sembilan gol dalam lima perlawanan menentang pasukan Jepun.

Sementara itu, bekas bintang Brazil dan bekas jurulatih Jepun, Zico percaya bahawa Samurai Blue kini memiliki kemampuan untuk mencabar pasukan terbaik dunia apabila menegaskan bahawa Jepun kini ‘bermain bola sepak yang sebenar’.

“Apa yang saya tahu ialah ia akan menjadi satu perlawanan yang hebat kerana Jepun bermain bola sepak yang sebenar. Mereka kini berada pada tahap yang lebih kompetitif.

“Pemain-pemain mereka telah berhijrah ke Eropah, sama seperti pemain Brazil dan Amerika Selatan sebelum ini, daripada 26 pemain Jepun yang dibawa ke Piala Dunia, 23 beraksi di Eropah dan mereka bermain dalam Bundesliga, Serie A serta Liga Perdana Inggeris,” jelasnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN