BALING – Pemilik kebun durian di daerah ini memilih untuk menurunkan harga sehingga RM1 sekilogram (kg) susulan lambakan raja buah itu yang berisiko menjadi rosak jika tidak terjual.
Pemilik kebun, Muhamad Zaidi Hussain, 47, berkata, lebih 1,000 pokok durian miliknya selain yang dipajak telah menghasilkan buah sehingga lebih 200 biji sepokok.
“Memang banyak sangat hasil buah durian tahun ini sehingga harganya menjunam RM1 sekilogram, kebanyakan buah dijual kepada kilang bagi mengelakkan lambakan atau buah rosak begitu sahaja.”
“Saya juga menolong orang kampung yang ada dusun durian, saya membeli secara borong daripada mereka kerana kebanyakan peniaga durian di sini tidak mahu menjualnya terus kerana harga yang terlalu rendah,” katanya ketika ditemui di Kampung Teluk Temelah semalam.
Menurutnya, buah durian gred A yang dijual kepada orang ramai hanya berharga RM2 sekilogram, manakala buah yang dijual ke kilang lebih murah iaitu 70 sen sekilogram.
“Lagipun, kualiti buah tahun ini sangat baik, 60 peratus buah elok, itupun harganya hanya RM2 berbanding tahun lepas iaitu RM5 sekilogram.
“Saya juga pelawa kepada anak-anak yatim atau pondok, jika mereka hendak makan atau merasai suasana kutip dan makan durian dalam dusun, silalah datang. Boleh makan sepuas-puasnya tanpa dikenakan bayaran, tahun ini kita buat kenduri durian,” katanya.
Katanya lagi, buah-buahan lain seperti rambutan hanya dijual RM2 sekilogram, manggis RM10 untuk tiga kg dan dokong RM4 sekg.














