MONTERREY – Afrika Selatan dinasihatkan supaya tidak melakukan rombakan besar menjelang aksi Pusingan 32 menentang Kanada selepas aksi menyerang yang dipamerkan berjaya memerangkap Korea Selatan di peringkat kumpulan.
Bafana-Bafana menewaskan Korea Selatan 1-0 di Stadium Monterrey, Mexico, sekali gus mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah selepas gagal melepasi peringkat kumpulan pada edisi 1998, 2002 dan kejohanan yang dianjurkan di laman sendiri pada 2010.
Kemenangan itu turut meredakan tekanan terhadap jurulatih Hugo Broos yang menerima kritikan hebat selepas kekalahan 2-0 kepada Mexico dalam perlawanan pembukaan.
Ketika itu, sistem lima pertahanan yang digunakannya mengundang rasa tidak puas hati penyokong menyebabkan Broos kembali menggunakan formasi 4-2-3-1 yang lebih biasa ketika menentang Korea Selatan.
Perubahan itu mendapat pujian ramai termasuk bekas penyerang Afrika Selatan, Siyabonga Nomvethe yang pernah mewakili negara pada Piala Dunia 2002 dan 2010.
“Saya rasa jurulatih mengubah taktikal permainan. Kami juga mempunyai banyak pilihan di bahagian serangan. Ramai yang menyangka kami takut berdepan Korea Selatan, tetapi kami berjaya membelah pertahanan mereka dan bermain mengikut kekuatan kami sendiri.
Ketika penyokong Kanada dijangka memenuhi stadium, Bafana-Bafana memasuki perlawanan itu sebagai pasukan bukan pilihan, namun Nomvethe mengingatkan pasukan supaya tidak terlalu merumitkan corak permainan mereka.
“Pasukan tidak sepatutnya mengubah pendekatan dan pelan permainan. Pasukan perlu terus bekerja keras dengan menyedari bahawa tiada apa yang dijamin.
“Ya, kami telah menewaskan lawan yang lebih sukar daripada Kanada, tetapi kami tetap perlu berhati-hati terhadap mereka. Kami hanya perlu meneruskan apa yang telah kami lakukan ketika menentang Korea Selatan dan itu boleh memberi kami kelebihan untuk menang sekurang-kurangnya 2-0,” jelasnya.
Ketika menentang Korea Selatan, kekuatan Afrika Selatan terletak pada kreativiti pemain utama mereka, Relebohile Mofokeng yang disokong oleh kepantasan serta kemahiran menggelecek Maseko dan Oswin Appollis.
Nomvethe menggesa Broos agar mengekalkan pendekatan yang sama ketika menentang Kanada sambil menegaskan bahawa kekuatan utama pasukan ialah kelajuan permainan.
“Apabila kita mempunyai penyerang yang bijak, adalah penting untuk menambah lebih ramai pemain ketika menyerang. Saya pasti jurulatih sudah menyedari bahawa apa yang paling berkesan untuk kami ialah melakukan tekanan tinggi (high press) dan menggunakan kepantasan.
“Kami juga perlu bergerak pantas bersama bola dan saya fikir itulah yang banyak membantu kami kerana kami tidak bermain secara perlahan. Itu sangat penting,” ujarnya. – AGENSI














