MIAMI – Aksi penentuan juara Kumpulan K yang berlangsung di Stadium Miami menyaksikan Colombia dan Portugal sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan biarpun perlawanan berlangsung cukup menarik.
Pada perlawanan itu, Colombia yang mengesahkan kedudukan selaku juara kumpulan menampilkan aksi jauh lebih baik apabila menguasai 55 peratus permainan selain melakukan 26 percubaan ke arah pintu gol Portugal.
Bintang Selecao, Cristiano Ronaldo pula dilihat cukup terasing sepanjang perlawanan tersebut apabila tidak banyak menerima bola selain Portugal hanya beberapa kali mengancam pintu gol Colombia.
Ketika perlawanan memasuki masa kecederaan, Colombia berjaya memecah kebuntuan menerusi tandukan Davinson Sanchez, namun tidak dikira apabila dia didapati berada dalam kedudukan ofsaid sebelum jaringan dilakukan.
Menerusi keputusan itu, kedua-dua pasukan meneruskan kemaraan ke pusingan kalah mati dengan Colombia muncul juara kumpulan apabila mengumpul tujuh mata manakala Portugal menjadi naib juara dengan lima mata.
Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan Kumpulan K yang berlangsung di Stadium Atlanta, DR Congo melakukan kebangkitan untuk mencatat kemenangan 3-1 ke atas Uzbekistan bagi melayakkan diri ke pusingan kalah mati.
Skuad Les Leopards itu memastikan kemaraan ke pusingan 32 terbaik apabila berjaya menempatkan kedudukan dalam kelompok lapan pasukan ketiga terbaik selepas mengumpul empat mata keseluruhan.
Pada awalnya, Uzbekistan mendahului 1-0 seawal minit ke-10 menerusi Eldor Shomurodov sebelum Congo bangkit dengan tiga gol menerusi dua jaringan Yoane Wissa dan satu gol Fiston Mayele. – AGENSI














