fbpx
PENYERANG England, Harry Kane (kiri) menanduk masuk gol kedua ketika membantu The Three Lions menewaskan Panama 2-0 pada aksi terakhir Kumpulan L Piala Dunia 2026 di Stadium MetLife, East Rutherford, hari ini. – AFP

Piala Dunia 2026: England benam Panama 2-0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

EAST RUTHERFORD – England menghantar amaran awal kepada pencabar lain apabila mengesahkan kemaraan ke pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 selaku juara Kumpulan L selepas menundukkan Panama 2-0 di Stadium MetLife, hari ini.

Skuad kendalian Thomas Tuchel menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan tujuh mata daripada tiga perlawanan, sekali gus mengelak pertembungan awal dengan Sepanyol pada pusingan kalah mati.

Selepas bergelut menembusi benteng Panama sepanjang babak pertama perlawanan, England akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-62 menerusi Jude Bellingham yang menanduk masuk sepakan penjuru Bukayo Saka.

Harry Kane kemudian memastikan tiga mata menjadi milik The Three Lions apabila menyempurnakan hantaran lintang Bellingham pada minit ke-72 untuk menggandakan kelebihan England.

Jaringan itu merupakan gol ketiga Kane pada kejohanan kali ini, sekali gus menyaksikan kapten England itu muncul penjaring terbanyak negaranya dalam sejarah Piala Dunia dengan 11 gol, mengatasi rekod legenda Gary Lineker yang meledak 10 gol.

England yang membuka kempen dengan kemenangan 4-2 ke atas Croatia sebelum diikat Ghana tanpa jaringan nyata tidak mempamerkan aksi paling meyakinkan, namun tetap berjaya menamatkan saingan sebagai juara kumpulan.

Tuchel melakukan lima pertukaran dalam kesebelasan utama, termasuk merehatkan Declan Rice, selain memberikan Marcus Rashford dan Saka penampilan pertama sebagai kesebelasan utama pada kejohanan kali ini.

Rashford hampir meletakkan England di depan pada awal permainan, namun percubaannya diselamatkan penjaga gol Panama, Orlando Mosquera, sebelum sepakan percumanya pada penghujung babak pertama sekadar melewati palang.

Panama yang menghuni ranking ke-34 dunia memberikan tentangan sengit, namun gagal menghasilkan sebarang jaringan sepanjang kempen selepas turut tewas 0-1 kepada Ghana dan Croatia sebelum ini.

England kini akan beraksi di Atlanta pada Rabu depan menentang salah satu pasukan tempat ketiga terbaik dalam usaha meneruskan misi memburu gelaran Piala Dunia kedua selepas kejayaan bersejarah pada 1966. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN