fbpx
Tangkap layar video yang dimuat naik di Instagram oleh Mr_wan_chai_official.

MAIS arah pertemuan segera selesai kemelut jenazah lewat kebumi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengarahkan satu pertemuan segera melibatkan semua pihak berkaitan bagi meredakan kemelut susulan dakwaan kelewatan pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Kelang.

Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin berkata, pertemuan itu akan membabitkan wakil MAIS, waris yang terlibat, pengurusan Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam, Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS) serta wakil Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Menurutnya, ini adalah selaras dengan komitmen MAIS bagi menyelesaikan permasalahan yang berlaku itu.

“Pertemuan segera ini diarahkan bagi mencapai penyelesaian terbaik untuk semua pihak yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, MAIS turut akan menilai semula pengurusan jenazah orang Islam yang sedang dilaksanakan pihak pengurusan masjid bagi mengenal pasti sebarang ruang penambahbaikan.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan pengurusan jenazah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan amanah, secara teratur, cekap serta menepati tuntutan hukum syarak.

“Justeru, masyarakat Islam dinasihatkan untuk terus memperkuatkan ukhuwah sesama Islam dan tidak menjadikan perbezaan pandangan dalam sesuatu perkara sebagai medan perpecahan dan kebencian,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Salehuddin menambah, MAIS mengambil maklum kenyataan media oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kelmarin berhubung hasil siasatan awal selain laporan polis yang dibuat Masjid Nurul Hidayah, waris terlibat dan BKS.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai diminta memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan secara telus dan adil.

“MAIS memberi jaminan bahawa semua dapatan hasil siasatan pihak polis sama ada dari aspek jenayah, kecuaian atau salah faham komunikasi antara pihak-pihak yang terlibat akan diambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab.

“Hal ini adalah untuk memastikan insiden yang sama tidak berulang di masa akan datang,” jelasnya.

Dalam pada itu, MAIS turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga waris yang terlibat serta menzahirkan rasa dukacita terhadap insiden berkenaan.

Kosmo! semalam melaporkan bapa Allahyarham Siti Adawiyah, 14, Muhammad Hasrul Ghazal, 41, menafikan dakwaan menggunakan borang pengebumian palsu bagi menguruskan jenazah anaknya itu.

Datuk Allahyarham, Abd Majid Abdullah, 66, turut menafikan kenyataan JAIS yang mendakwa beliau berkeras tidak mahu pihak masjid menguruskan jenazah cucunya.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seorang lelaki mendakwa pengebumian jenazah anaknya tertangguh hampir sejam selepas berlaku pertikaian berhubung caj pengurusan jenazah sebanyak RM1,400 yang didakwa dikenakan oleh sebuah badan khidmat pengurusan jenazah.

Sehubungan itu, JAIS menafikan masjid terbabit menuntut bayaran RM1,400 daripada waris bagi pengurusan jenazah berkenaan.

Setakat ini, sebanyak tujuh laporan polis telah diterima Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya mengenai insiden itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa pula memaklumkan telah membuka kertas siasatan berhubung borang permohonan pengebumian yang disyaki palsu dalam insiden itu dengan kes disiasat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN