LOS ANGELES – Jaringan masa kecederaan Stephen Eustaquio membantu Kanada cipta sejarah selepas menewaskan Afrika Selatan 1-0 dalam aksi pusingan 32 terbaik saingan Piala Dunia 2026 di Stadium Los Angeles awal pagi tadi.
Ketika perlawanan dilihat bakal berlanjutan ke masa tambahan, Eustaquio muncul penyelamat apabila melepaskan rembatan padu dari luar kotak penalti pada penghujung permainan untuk menewaskan penjaga gol Afrika Selatan, Ronwen Williams.
Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Jesse Marsch mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik buat kali pertama dan bakal berdepan pemenang pertemuan antara Belanda dan Maghribi di Stadium Houston.
Pada perlawanan itu, skuad Bafana Bafana mempamerkan aksi meyakinkan pada babak pertama dengan beberapa gerakan menarik, namun kegagalan menyudahkan peluang terhidang.
Kanada hampir berada di depan sebelum tamat separuh masa pertama, namun Aubrey Modiba bertindak cemerlang mengeluarkan tandukan Moise Bombito di atas garisan gol sebelum Williams menyelamatkan percubaan susulan Tajon Buchanan.
Bersambung pada babak kedua, Kanada menguasai permainan dengan kini giliran Tani Oluwaseyi hampir meletakkan pasukannya di depan tetapi rembatannya ditepis Williams sebelum Mbekezeli Mbokazi pantas mengeluarkan bola daripada bahaya.
Kemasukan Alphonso Davies pada minit ke-75 turut mengubah rentak permainan sebelum Eustaquio muncul wira apabila meledak gol kemenangan pada masa kecederaan. – AGENSI














