BAGI golongan wanita, didiagnosis dengan penyakit kanser payudara sememangnya merupakan satu tamparan hebat yang mampu mengubah kehidupan mereka dalam sekelip mata.
Kanser payudara merupakan antara kanser yang paling kerap berlaku dalam kalangan wanita, malah boleh juga terjadi kepada lelaki.
Sifat penyakit ini yang mampu menyerang kembali (recurrence) menyaksikan ramai pejuang terjerumus dalam zon selesa dan alpa kerana menyangka telah pulih sepenuhnya.
Risiko kanser untuk kembali aktif secara senyap sebenarnya amat tinggi, terutamanya bagi pesakit peringkat awal (tahap dua dan tiga), sejenis Hormon Reseptor Positif atau HER2 Negative (HR+/HER2-).
Menurut tinjauan yang dijalankan oleh Novartis Malaysia bersama IQVIA, terdapat jurang kesedaran yang amat membimbangkan dalam kalangan pesakit di negara ini.
Berdasarkan statistik, sebanyak dua daripada tiga pesakit mengaku berasa sangat bimbang tentang risiko kanser berulang, malah 41 peratus daripadanya kerap memikirkan perkara tersebut setiap hari.
Namun begitu, sekitar 45 peratus pesakit pula mengambil jalan mudah dengan jarang memikirkannya kerana mereka tidak mendapat penjelasan berkala daripada doktor atau dilabel sebagai berisiko rendah setelah tamatnya rawatan.
Pakar Bedah Payudara, Profesor Emeritus Datuk Dr. Yip Cheng Har berkata, walaupun ketumbuhan utama sudah berjaya dibuang melalui prosedur pembedahan, musuh senyap ini kadangkala masih meninggalkan sisa mikro yang tidak dikesan oleh mata kasar mahupun imbasan biasa.

“Tumor sekecil satu milimeter padu boleh mengandungi sehingga 100,000 sel kanser.
“Malah, tumor bersaiz satu sentimeter mampu mencecah 100 juta sel. Cukup sekadar satu sel sahaja yang terselamat dan terapung bebas secara tersembunyi, ia sudah mampu mengaktifkan semula serangan kanser pada masa hadapan,” katanya sewaktu sesi perbincangan yang bertajuk Living Well, Living Longer: The Hidden Risk of Breast Cancer Recurrence di The farm, Bangsar South Kuala Lumpur baru-baru ini.
Berbincang mengenai kaedah rawatan, ia melibatkan sama ada rawatan setempat (local treatment) atau rawatan menyeluruh (systemic treatment).
Bagi kes rawatan setempat, beliau menjelaskan bahawa ia adalah kanser payudara peringkat awal dan pembedahan membuang ketumbuhan atau seluruh payudara merupakan langkah utama yang wajib dijalankan.
“Selepas satu tempoh yang panjang, saya sentiasa mengingatkan pesakit bahawa terdapat risiko sebanyak 10 peratus untuk kanser datang semula di kawasan setempat.
“Maksudnya, ia tumbuh kembali di bahagian payudara asal atau pada dinding dada selepas pembedahan,” jelasnya.
Tambah Cheng Har, kaedah pengendalian bagi kategori setempat ini berbeza kerana ia diuruskan sepenuhnya melalui tindakan pembedahan.
Berbeza dengan situasi pembedahan itu, rawatan menyeluruh (systemic treatment) pula diperlukan sekiranya sel kanser sudah mula merebak jauh ke bahagian anggota badan yang lain.
Antara dua kawasan yang paling kerap menjadi sasaran rebakan jenis ini adalah organ paru-paru dan juga tulang.
Bagi fasa ini, Pakar Onkologi Klinikal, Dr. Kua Voon Fong menjelaskan bahawa keadaan tersebut memerlukan penilaian yang sangat teliti daripada pakar onkologi kerana melibatkan kawasan rebakan yang luas, bukannya lagi setempat yang boleh dipotong begitu sahaja.
“Apabila pesakit datang kepada saya dengan masalah kanser yang sudah merebak ke organ lain, ada banyak perkara yang perlu kami tengok dahulu.
“Ini termasuklah sama ada ia melibatkan tompokan yang besar (banyak kawasan yang sudah terkena) atau jika ia hanyalah tompokan kecil di kawasan tertentu yang masih boleh dibuang.” katanya.
Menurut Voon Fong, matlamat utama rawatan bagi fasa sistemik ini bukan lagi untuk memotong ketumbuhan, sebaliknya adalah untuk mengawal penyakit daripada terus merebak ke organ lain menggunakan ubat-ubatan.
“Bagi pesakit kanser jenis hormon reseptor, rawatan lazimnya melibatkan terapi hormon atau ubat jenis kombinasi.
“Pesakit perlu makan ubat-ubatan ini dan mereka sebenarnya mampu bertahan hidup untuk tempoh yang sangat lama walaupun kanser sudah merebak ke organ lain,” katanya.
Harapan ini dibuktikan sendiri melalui pengalaman pesakit di bawah pengawasan Voon Fong yang kini mampu menjalani kehidupan harian dengan baik hasil daripada rawatan ubat-ubatan menyeluruh ini.
Sementara itu, Pengurus Besar Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA), Sumitra Selvaraj menyarankan agar pesakit membuang rasa takut dan bersikap terbuka terhadap risiko ini.
Menerusi pematuhan pelan rawatan ubat-ubatan, menjaga gaya hidup sihat seperti bersenam serta sokongan maklumat yang betul melalui platform BCWA atau aplikasi digital ICanCare, pejuang kanser mampu terus menjalani kehidupan yang panjang dengan lebih bermakna.














