fbpx
Anwar bersama sebahagian warga UIS pada Program Sesi Santai Mesra bersama Warga Perkhidmatan Awam Zon Tengah di Universiti Islam Selangor, Bangi hari ini. Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI / KOSMO!

‘Sesetengah kategori, kenaikan pangkat ambil masa hingga 8 tahun’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan, terdapat sesetengah kategori dalam perkhidmatan awam perlu menunggu masa sehingga lapan tahun untuk kenaikan pangkat mereka.

Beliau berkata, sehubungan itu, proses berkenaan perlu dipercepatkan dan arahan telah diberikan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) bagi menyemak semula proses kenaikan pangkat penjawat awam.

“Melalui sesi libat urus KSN dan KPPA bersama rakan-rakan penjawat awam, banyak input diberikan. Memang gaji sudah naik. Tetapi saya dimaklumkan bahawa bagi sesetengah kategori, kenaikan pangkat mengambil masa sehingga lapan tahun.

“Betul, saya dengar ramai mengadu perkara itu. Saya bertanya kepada KSN dan beliau memaklumkan bahawa dalam mesyuarat akan datang perkara itu akan diteliti semula. Mana-mana proses kenaikan pangkat yang terlalu lambat perlu dipercepatkan.

“Itu arahan yang telah saya berikan. Sebab itu saya fikir perkara ini perlu dilakukan kerana kita mahukan satu komitmen yang menyeluruh untuk menjayakan konsep Malaysia Madani,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara dengan warga perkhidmatan awam zon tengah di Universiti Islam Selangor di sini, hari ini.

Berhubung kenaikan gaji, Anwar berkata, KPPA dan KSN tidak begitu yakin bahawa cadangan berkenaan dapat diluluskan berikutan kekanga dihadapi oleh kerajaan.

“Saya boleh terima sebab mereka tahu tentang kekangan kita dari sudut kewangan negara dan beban hutang yang telah dilonggokkan ke atas kita. Itu semua kita terpaksa warisi. Tetapi apabila KSN dan KPPA mengemukakan cadangan itu, saya kata saya tidak sanggup membentangkannya.

“Mereka ingat saya hendak menolak. Saya kata bukan, saya tidak sanggup kerana cadangan mereka itu, bagi saya, tidak cukup tinggi. Maka akhirnya saya minta ia dinaikkan lagi. Itu kenyataan. Bukan hendak mengungkit, tetapi itu hakikatnya. Cuba bayangkan, ini pertama kali berlaku,” katanya.

Beliau berkata, kebiasaannya KPPA akan mencadangkan kadar maksimum yang difikirkan sesuai untuk penjawat awam.

“Apabila sampai kepada saya selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, biasanya kita akan kurangkan sedikit. Tetapi kali ini tidak. Beliau mengemukakan cadangan, dan saya pula menaikkannya lagi.

“Saya kata, saya tidak mahu meminta penjawat awam bekerja lebih kuat, lebih tegas, lebih berdisiplin, menegur kesilapan, memarahi jika kerja tidak betul, kemudian meminta mereka bekerja lebih keras, tetapi pada masa sama tidak mengambil peduli tentang kebajikan mereka. Itulah yang saya hendak capai,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN