fbpx
Gambar hiasan.

Pengasuh didakwa cederakan budak empat tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Seorang pengasuh wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganiaya hingga mencederakan seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang berada di bawah jagaannnya pada Mei lalu.

Tertuduh, Zaiton Md. Lajis, 60, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Shahrul Rizal Majid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan ke atas seorang kanak-kanak berumur empat tahun didakwa telah menganiaya kanak-kanak itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 1.30 tengah hari di sebuah rumah beralamat di Jalan Nusari Bayu 4, Taman Nusari Bayu, Bandar Sri Sendayan, di sini pada 14 Mei lalu.

Tertuduh didakwa telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM20,000 atau dipenjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 berserta tiga syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan dan kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam pada 21 Ogos depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN