PETALING JAYA – Penyanyi Zaki Yamani mengakui teruja sekiranya ditawarkan untuk membintangi filem Azura yang pernah dilakonkan oleh bapanya, Datuk Jamal Abdillah sekitar tahun 1984 jika naskhah tersebut dihasilkan semula dalam versi baharu oleh mana-mana penerbit atau pengarah.
Menurut Zaki, 20, dia sanggup menyahut cabaran dan melakukan apa sahaja demi menjayakan watak Zack yang sangat sinonim dengan bapanya dulu.
“Kalau ada penerbit di luar sana nak tawarkan saya watak Zack, saya sentiasa terbuka untuk filem Azura.
“Saya sangat meminati naskhah tersebut dan akan lakukan apa sahaja untuk watak itu,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.
Berkongsi pengalaman bertemu dengan heroin filem tersebut yang juga pemegang watak Azura iaitu Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy, dia mengakui sangat mengagumi bakat lakonan aktres legenda itu.
“Pada awalnya saya takut ketika bertanya mengenai nak buat konten iaitu video lakonan semula babak filem Azura. Saya beritahu dia, saya jadi Zack, dia jadi Azura versi dewasa dan capai persetujuan.
“Kemudian saya lakukan babak tersebut bersama kemudian dia marah-marah.
“Saya ingat dia memang marah betul, rupa-rupanya hanya berlakon sahaja, hebat betul Auntie Ogy,” katanya lagi.
Ditanya nama pelakon wanita yang dia inginkan untuk memegang watak Azura sekiranya filem tersebut dihasilkan semula, Zaki tidak meletakkan sebarang nama dan menyerahkan tugas tersebut kepada pihak produksi.
“Saya tak boleh beri sebarang nama dan tugas itu bergantung pada kehendak penerbit.
“Sesiapa pun boleh untuk pegang peranan Azura cuma saya nak beritahu sekali lagi, saya sentiasa bersedia untuk watak Zack,” ujarnya.
Terdahulu, tular sebuah video memaparkan Zaki melakonkan babak ikonik dalam filem Azura bersama Ogy.
Video tersebut seterusnya meraih pelbagai respons yang rata-rata melahirkan hasrat untuk melihat Zaki berlakon drama filem Azura sekiranya dihasilkan semula. – KOSMO! ONLINE














