fbpx
Selepas tiga tahun, Aisha kini tidak lagi mengenakan braces atau pendakap gigi sekali gus berjanji akan memberi komitmen terbaik untuk dua acara besar iaitu AJL dan PGL The Musical.

‘Akhirnya lepas 3 tahun, ini imej kalian akan lihat selamanya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Penampilan menjadi tumpuan, penyanyi Aisha Retno memilih untuk tidak mendedahkan kos bagi busana dan gaya yang digayakannya sepanjang program realiti Big Stage X Rocketfuel.

Aisha atau nama lengkapnya Sharifah Aisha Retno Syed Sipulijam, 26, menjelaskan perbelanjaan yang dikeluarkan masih mengikut perancangan kewangan yang ditetapkan pihak pengurusan.

“Setakat ini kita dalam bajet kitalah semestinya untuk Big Stage ini. Kita dah tetapkan berapa bajet yang perlu dikeluarkan.

“Tugas saya hanyalah menjuri dan sudah semestinya kita berhabis dari segi ‘glamming’, untuk menyanyi semua tak ada sangat.

“Sejujurnya, saya pun tak tahu (harga) tapi memang sama dengan semua persembahan yang saya laksanakan,” katanya kepada Kosmo! Online usai Big Stage X Rocketfuel, semalam.

Sementara itu, penata gayanya, Abu Shaef Hamza mengesahkan jumlah keseluruhan perbelanjaan bagi busana dan imej yang digayakan Aisha sepanjang lapan minggu program tersebut berlangsung mencecah nilai puluhan ribu ringgit.

Disoal mengenai gaya penampilan yang sentiasa menjadi bualan, pelantun lagu Sutera itu tidak menyedari perkara tersebut berlaku kerana memberi fokus terhadap tugasannya sebagai juri.

“Saya tak sedar sebab tahu dekat Big Stage saya sebagai juri kiranya hanya untuk menemani dan menyantuni persembahan. Fokus kita pada peserta.

“Tapi bila tahu mengenai ini, saya rasa macam menarik. Jadi, saya lagi bersemangat nak tunjukkan penampilan apa nak dihasilkan setiap minggu.

“Terima kasih semua yang menanti-nantikan saya,” luahnya.

Selain gaya busana, Aisha turut berkongsi mengenai perubahan imej terbaharunya yang kini sudah tidak lagi menggunakan pendakap gigi selepas tiga tahun memakainya.

“Akhirnya selepas tiga tahun, ada juga akan yang berspekulasi macam mana AJL (Anugerah Juara Lagu) dan PGL (Puteri Gunung Ledang) nanti masih pakai pendakap gigi ke?

“Saya rasa ini masanya, inilah imej kalian akan lihat selama-lamanya.

“Suara insya-Allah lebih ‘care-free’ dah tak ada pendakap gigi semua. Insya-Allah, semua dipermudahkan,” katanya.

Sebelum ini, peminat sentiasa menantikan konsep penampilan yang dibawakan Aisha pada setiap minggu di pentas Big Stage X Rocketfuel.

Rata-rata yang terpesona melihat gaya Aisha terkini yang disifatkan sangat menawan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN