BANGI – Pencapaian pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 5.8 peratus pada Suku Tahun Kedua (ST2) adalah bukti komitmen, kecekapan dan dedikasi penjawat awam bagi mencapai kejayaan tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, angka yang dicapai itu jauh lebih baik daripada unjuran Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Bank Negara Malaysia ketika negara dan dunia umumnya bergelut dengan tekanan akibat perang dan ketidaktentuan ekonomi.
“Jika saudara melihat sejarah dan unjuran pertumbuhan ekonomi kita, ini merupakan satu kejutan luar biasa. Pencapaian pertumbuhan kita jauh lebih baik daripada jangkaan dalam belanjawan lalu dan juga unjuran semasa.
“Tentunya orang pertama yang ditanya ialah Perdana Menteri. Tetapi saya dengan penuh tawaduk ingin mengingatkan bahawa perkara ini tidak mungkin berlaku kalau tidak ada komitmen, kesungguhan, tahap kecerdasan dan dedikasi rakan-rakan penjawat awam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara dengan warga perkhidmatan awam zon tengah di Universiti Islam Selangor di sini, hari ini.
Anwar berkata, kejayaan yang dicapai itu turut melibatkan negeri-negeri menerusi kesungguhan dan komitmen penjawat awam.
“Tanpa mereka, kejayaan ini tidak mungkin kita capai. Jadi saya salute (tabik) kepada saudara yang telah menentukan dan menjayakan pencapaian ini.
“Sampai kita lihat catatan di Selangor, Negeri Sembilan dan seluruh Malaysia kerana sumbangan dan komitmen semua, termasuk Perak juga.
“Memang betul, kita harus menerima teguran-teguran dengan baik. Tetapi ia tidak boleh memadamkan satu kenyataan, iaitu apa yang kita capai hari ini,” katanya.
Beliau berkata, kestabilan keselamatan negara yang dipelihara oleh pasukan polis, Angkatan Tentera Malaysia dan agensi penguat kuasa menjadi antara faktor penting yang meningkatkan keyakinan pelabur.
“Keamanan negara, keselamatan negara, itu hasil usaha polis, tentera dan badan-badan berkuasa.
“Kecekapan yang dapat menarik pelabur datang, kelulusan yang lebih cepat, serta cara kita menyantuni pelabur domestik dan asing dengan berhemah, itu juga hasil usaha penjawat awam,” katanya.
Media melaporkan, ekonomi Malaysia berkembang 5.8 peratus pada ST2 2026, meningkat berbanding 5.4 peratus yang dicatatkan pada suku pertama tahun ini.
Berdasarkan Anggaran Awalan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) ST2 2026, pertumbuhan itu dipacu oleh sektor perlombongan dan pengkuarian yang berkembang 10.2 peratus, diikuti sektor pembuatan (7.5 peratus), pembinaan (6.6 peratus) dan perkhidmatan (5.4 peratus).
Bagaimanapun, sektor pertanian menguncup 3.7 peratus. – KOSMO! ONLINE














