ALOR SETAR – Tindakan segelintir warga Rohingya yang ‘mengeksploitasi’ sifat pemurah rakyat Malaysia dengan mengemis sehingga meraih pendapatan lumayan mencecah RM300 sehari dibimbangi akan memberi imej buruk kepada ratusan ribu etnik itu yang kini berada di Malaysia.
Modus operandi pegemis ini adalah menggunakan anak kecil atau berpura-pura cacat dan mereka menjadikan pasar malam serta pasar pagi sebagai lokasi untuk meminta sedekah.
Pengerusi Persatuan Rohingya Kedah, Yusof Ali berkata, kegiatan itu bagaimanapun perlu dibendung segera kerana boleh mencemar nama komuniti Rohingya di negara ini.
“Mereka minta sedekah sebab mudah dapat duit, kadang-kadang sehari boleh dapat RM200 hingga RM300 hasil simpati orang ramai. Ada orang beri RM5, RM10, malah kadang-kadang orang kaya sedekah sampai RM50 sebab kasihan,” katanya di sini semalam.
Katanya, sifat rakyat Malaysia yang terkenal pemurah menyebabkan golongan ini terus mengambil kesempatan dengan meminta sedekah di kawasan tumpuan ramai terutama di pasar borong dan pasar malam.
Malah katanya, ada pengemis yang sengaja menggunakan tongkat atau membawa anak kecil bagi mendapatkan simpati daripada orang ramai.
“Mereka guna anak-anak untuk tarik simpati. Kalau dua atau tiga anak ikut sekali, lagi mudah orang bagi duit,” katanya.
Menurut beliau, kebanyakan individu ini sebenarnya masih mampu bekerja dan tidak sepatutnya terus bergantung kepada hasil meminta sedekah.
“Banyak kerja boleh buat seperti ambil upah potong rumput, jadi tukang rumah dan bermacam-macam lagi untuk cari rezeki. Jangan cari duit mudah dengan minta sedekah sebagai pendapatan utama, jika masih muda dan ada tenaga buatlah kerja dengan betul,” katanya.
Katanya, tindakan segelintir individu terbabit menyebabkan masyarakat memandang serong terhadap komuniti Rohingya secara keseluruhan.
“
Ramai juga Rohingya yang kerja kuat, buat rumah, kerja buruh dan cari makan secara baik. Jadi jangan kerana segelintir, habis semua dipandang buruk,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkuasa mengambil tindakan lebih tegas terhadap peminta sedekah warga asing di negara ini.
“Kalau kerajaan tak ambil tindakan, benda ini akan terus berlaku dan makin ramai ambil kesempatan sebab senang dapat duit,” katanya.
Kosmo! kelmarin melaporkan deretan puluhan gerai perniagaan yang dipenuhi pengunjung setiap malam dijadikan pengemis warga asing sebagai peluang paling mudah untuk mengaut keuntungan lumayan yang dipercayai mencecah sehingga ratusan ringgit sehari.
















