BERMULA sekadar menjual kuih keria yang diambil daripada orang lain, siapa sangka wanita muda berusia 28 tahun ini kini mampu memiliki kedai sendiri dan menggaji 15 pekerja hasil jualan kuih tradisional itu.
Bagi Izzati Hamidah Sharil, perjalanan membina empayar kecil kuih kerianya bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi ketika memulakan perniagaan dahulu dalam keadaan sarat mengandung lapan bulan.
Lepasan Diploma Perkhidmatan Makanan (Amalan Halal) dari Politeknik Merlimau itu berkata, minat mendalam terhadap kuih keria menjadi titik awal dia menceburi bidang tersebut sekitar tahun 2022.
“Pada mulanya saya cuma ambil kuih keria daripada orang lain untuk dijual, dalam setahun juga saya buat macam itu, sebelum terfikir untuk cuba buat sendiri.
“Saya nampak kuih keria ini memang ada peminatnya tersendiri, jadi saya fikir, kenapa tidak cuba hasilkan resipi sendiri dan belajar daripada orang yang mahir,” katanya ketika ditemui K-Wanita di kedainya di Taman Pengkalan Impian, Ayer Molek, Melaka.
Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu, dia dan suaminya, Muhammad Amir Adam, 28, kemudian memulakan perniagaan keria sendiri secara kecil-kecilan dengan membekalkan kuih keria kepada gerai tepi jalan dan vendor sekitar Melaka.
Katanya, lokasi awal perniagaan ialah di sebuah restoran ikan bakar di Umbai sebelum perlahan-lahan berkembang ke beberapa lokasi lain termasuk di Bukit Katil dan Ayer Keroh.
“Dulu jualan sehari 300 hingga 400 biji pun susah, tetapi sekarang paling sedikit kami jual sekitar 4,000 biji sehari. Alhamdulillah, sekarang kami ada kedai sendiri dan beberapa lokasi jualan lain selain membekalkan kuih keria kepada pelanggan tetap di seluruh Melaka,” katanya.

Menurutnya, sebelum membuka kedai sendiri, operasi pengeluaran dibuat di sebuah pusat produksi di Ayer Keroh sebelum dia nekad mencari premis lebih selesa demi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat.
Jelasnya, walaupun kini berjaya mencatat pendapatan lima angka sebulan, wanita berasal dari Ayer Molek itu mengakui cabaran terbesar adalah mendapatkan bahan mentah berkualiti dan tenaga kerja mahir.
Katanya, proses menghasilkan kuih keria memerlukan ketelitian dan disiplin tinggi kerana produksi bermula seawal pukul 4 pagi setiap hari.
“Kuih keria ini banyak prosesnya, kalau pelanggan nak kuih panas dan segar pagi-pagi, kami kena mula lebih awal daripada peniaga lain. Dulu satu syif perlukan sampai 10 orang pekerja tetapi sekarang kami dah guna mesin, jadi boleh kurangkan sedikit tenaga kerja,” ujarnya.
Tambahnya, sepanjang tiga tahun berniaga, dia juga pernah beberapa kali berdepan rasa putus asa akibat keletihan dan tekanan menguruskan operasi harian.
Namun menurutnya, sokongan keluarga terutama suami menjadi kekuatan utama untuk terus bertahan.
“Suami selalu cakap, jangan mudah berhenti sebab kami bermula dari bawah, masa mula-mula dulu saya sendiri kupas keledek, rebus dan angkat periuk besar walaupun tengah sarat mengandung.
“Bila ingat balik susah payah itu, rasa rugi pula kalau nak mengalah,” katanya.
Bercerita mengenai keistimewaan produknya, Izzati berkata, dia hanya menggunakan keledek oren dan gula Melaka asli bagi mengekalkan rasa premium kuih kerianya.
Katanya, penggunaan bahan berkualiti menjadikan rasa kuih keria lebih lemak, manis dan mempunyai identiti tersendiri.
Malah, dia turut mencipta inovasi baharu menerusi kuih keria pistachio yang mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan pelanggan muda.
“Saya rasa kuih keria ini macam kuih ikon orang Melaka kerana pengunjung luar kalau datang Melaka memang ramai cari kuih keria.
“Sebab itu saya cuba tampilkan sesuatu yang berbeza supaya kuih tradisional ini terus diminati generasi muda,” katanya.
Menurutnya lagi, dia kini merancang untuk menghasilkan kuih keria versi sejuk beku bagi membolehkan pelanggan di luar Melaka dan luar negara menikmati makanan tradisional tersebut.
Dalam pada itu, Izzati turut menitipkan nasihat kepada golongan muda khususnya wanita agar tidak malu memulakan perniagaan walaupun secara kecil-kecilan.
“Kalau nak berniaga, jangan malu, itu paling penting kerana, selagi kita takut dengan pandangan orang, kita tidak akan ke mana.
“Kita tidak akan tahu hasilnya kalau kita sendiri tak berani mencuba,” katanya.














