SEBERANG PERAI – Seorang lelaki etnik Rohingya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap rakan senegaranya, awal bulan ini.
Tertuduh, Mohd Rofik Syukur Mohd, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.
Warga asing itu didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa lelaki berusia 42 tahun dengan sebatang kayu penggali tanah yang boleh menyebabkan kematian jika digunakan dalam serangan di tepi Jalan Permatang Tinggi, di sini pada pukul 8.55 pagi, 4 Mei lalu.
Oleh itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, selain denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Zhan Yi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan esok sebagai tarikh untuk menjatuhkan hukum. -KOSMO! ONLINE














