JOHOR BAHRU – Lima individu yang dikenakan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) selepas didapati bersalah membuang sampah merata-rata mengakui insaf dan serik untuk mengulangi perbuatan itu.
Seorang kontraktor tempatan yang dikenali Tan, 52, berkata, dia dikenakan tindakan itu kerana membuang puntung rokok di jalan raya di Taman Universiti, di sini, pada 3 Januari lalu.
Katanya, dia mengetahui mengenai penguatkuasaan undang-undang di bawah Seksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 mulai 1 Januari lalu, namun tidak menyangka dirinya antara yang dikenakan tindakan.
“Sebelum masuk ke dalam kereta, saya habiskan rokok dan terus buang puntung di jalan raya. Tidak lama kemudian, dua anggota Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) datang ketuk tingkap kereta saya.
“Apabila mereka tunjuk ke arah puntung rokok itu, saya sudah tahu memang kena saman,” katanya ketika menjalani PKM di sekitar bandar raya Johor Bahru.
Menurutnya, dia didenda RM500 oleh Mahkamah Sesyen pada 29 Januari lalu selain diarahkan menjalani PKM selama enam jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan.
“Kerja khidmat masyarakat ini mungkin biasa bagi saya yang memang buat kerja berat tapi sudah tentu saya serik,” katanya.
Seorang warga Indonesia dikenali sebagai Anita, 49, pula mengakui menyesal selepas dikenakan notis oleh anggota SWCorp ketika berada di pusat bandar Johor Bahru sempena sambutan tahun baharu lalu.
Menurutnya, dia yang sudah 15 tahun menetap di negeri ini tidak mengetahui mengenai penguatkuasaan undang-undang itu.
“Ketika mahu pulang kira-kira pukul 1 pagi, anggota SWCorp tahan kami kerana buang puntung rokok serta botol air.
“Mungkin ketika itu kami terlepas pandang. Biasanya kami buang sampah di dalam plastik,” katanya selepas menjalani PKM di Stulang Laut, di sini.
Anita berkata, pengalaman itu membuka matanya mengenai kepentingan menjaga kebersihan awam dan mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
“Sejak kejadian itu, saya selalu ingatkan rakan-rakan supaya jangan buang sampah merata-rata kerana tidak mahu mereka menerima nasib sama,” katanya.
Kosmo! pada 24 Januari lalu melaporkan, seorang wanita Indonesia menjadi individu pertama di negara ini yang didenda dan diperintah melakukan PKM selepas didapati bersalah oleh
Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas pertuduhan membuang sampah di tempat awam.














